Mi 11 Ultra tiba di Malaysia sebagai telefon Xiaomi paling mahal

Seminggu selepas pelancarannya di pentas antarabangsa, akhirnya Xiaomi Malaysia mengumumkan kedatangan telefon pintar terhebat mereka. Mi 11 Ultra diumumkan akan dibuka tempahan awalnya di Malaysia pada 8 April 2021.

Ketibaan Mi 11 Ultra juga mencatat satu rekod baru untuk Xiaomi Malaysia, kerana ia menjadi telefon pintar Xiaomi paling mahal pernah dijual di sini. Hanya satu varian diberitahu akan dijual di Malaysia pada harga berikut:

Mi 11 Ultra (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM4,299

Tempahan awal dibuka bermula dari 8 April 2021 dan ia boleh ditempah di Stor Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta di semua kedai Mi Store di seluruh Malaysia. Mi 11 Ultra datang bersama jaminan selama 2 tahun dan penggantian keretakan skrin 1 kali dalam tahun pertama. Terdapat dua warna boleh dipilih iaitu putih atau hitam.

Sebagai promosi pengenalan, Xiaomi menyediakan hadiah percuma untuk 200 pembeli yang paling awal mendaftarkan pembelian Mi 11 Ultra. 200 pembeli ini akan menerima hadiah eksklusif edisi terhad berupa rantai kunci Mi Bunny dengan nama pembeli ditulis di atasnya, serta t-shirt Mi Fan Festival 2021 Edisi Terhad.

Spesifikasi

Jika anda belum kenal, Mi 11 Ultra adalah telefon pintar Xiaomi paling berkuasa masakini. Ia memiliki cip pemproses Snapdragon 888, bersama RAM LPDDR5 dan Storan UFS 3.1. Skrinnya dari jenis AMOLED berukuran 6.81-inci, dengan resolusi ultra tinggi WQHD+ dan kadar penyegaran 120hz.

Keunikan utama di Mi 11 Ultra adalah terdapat skrin kedua di bahagian belakang, terletak di tepi kamera. Skrin ini boleh digunakan untuk memaparkan pelbagai notifikasi, teks atau gambar yang diingini oleh pengguna.

Baterinya berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar dan wayarles 67W. Ia adalah telefon pintar pertama Xiaomi diiktiraf kalis air IP68, serta memiliki speaker stereo yang ditala oleh Harman Kardon.

Xiaomi menyatakan bahawa kamera di Mi 11 Ultra memiliki perkakas terbaik. Terdapat tiga kamera belakangnya dengan kamera utama 50MP, menggunaakn sensor Samsung GN2 bersaiz 1/1.2-inci, sensor paling besar pernah ada di telefon pintar. Ini bukan sahaja memberi tangkapan gambar lebih jelas dan tajam, tetapi juga lebih cerah dalam suasana malap.

Dua lagi kamera belakang ialah kamera ultralebar dan kamera telemakro, kedua-duanya memiliki sensor Sony IMX586 48MP. Kamera hadapan pula 20MP, terletak di dalam lubang di dahi skrin.