SKMM minta pandangan orang awam untuk perketat piawaian MSQoS bagi perkhidmatan telekomunikasi

Bagi meningkatkan lagi tahap piawaian perkhidmatan pelanggan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjemput orang ramai dan pihak berkepentingan, untuk memberikan pandangan bagi Piawai Wajib Untuk Kualiti Perkhidmatan atau Mandatory Standard For Quality Of Service (MSQoS) industri telekomunikasi. Perkara ini penting bagi menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi terkini, kehendak pelanggan dan hala tuju strategik negara.

SKMM telah mengeluarkan notis Siasatan Awam mengikut Seksyen 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, untuk mengkaji semula TIGA (3) MSQoS sedia ada berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan memperkenalkan SATU (1) MSQoS baharu berkaitan Perkhidmatan Pelanggan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

MSQoS yang terlibat dalam Siasatan Awam ini ialah seperti berikut:

  1. MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu)
  2. MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar
  3. MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap
  4. MSQoS Perkhidmatan Selular Awam

MSQoS merupakan dokumen kawal selia di bawah AKM 1998 yang menetapkan kualiti minimum yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan telekomunikasi. Antara syarat-syarat yang disemak semula ialah tempoh penyelesaian aduan dan respons perkhidmatan pelanggan, notifikasi/maklumat kepada pelanggan berkenaan gangguan perkhidmatan, kelajuan rangkaian, keciciran data dan kelengahan rangkaian. Kegagalan mematuhi MSQoS yang telah diwartakan boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi yang terbabit didenda di bawah Seksyen 242 AKM 1998.

Orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan boleh menyemak semua cadangan MSQoS yang bakal diperkenalkan dan memberi ulasan masing-masing selepas membaca notis dan dokumen MSQoS, bermula 8 April 2021 hingga jam 12 tengah hari, 4 Jun 2021. Semua ulasan akan dipertimbangkan untuk menyokong atau meminda cadangan MSQoS tersebut.

Dokumen MSQoS berkaitan boleh dimuat turun di bawah ini:

Dari bacaan di dalam dokumen ini, antara perkara yang ingin diperbaiki oleh SKMM adalah:

1. MSQoS Perkhidmatan Pelanggan – menyelesaikan 80% aduan berkaitan bil dalam masa 3 hari bekerja, menjawab 85% panggilan oleh operator manusia dalam masa 30 saat, dan memaklumkan pelanggan sebarang gangguan berjadual dalam masa sekurangnya 24 jam.

2. MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar – kependaman rangkaian tidak lebih dari 150ms 90% masa, kelajuan internet TDD dan FDD tidak kurang dari 2.5Mbps 90% masa dan kelajuan wayarles tetap tidak kurang dari 25Mbps 90% masa.

3. MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap – kependaman rangkaian fiber tidak lebih dari 50ms dalam 95% sepnjang masa, kelajuan fiber 90% dari langganan bagi 90% sepanjang masa dan kehilangan paket tidak lebih dari 0.5% bagi fiber.

4. MSQoS Perkhidmatan Selular Awam – sambungan panggilan berjaya tidak kurang dari 98% dan panggilan terputus kurang dari 1%.

Jika anda ada cadangan untuk penambahbaikan, ajukannya kepada Siasatan Awam SKMM berkaitan MSQoS ini sekarang, sebelum 12 tengahari 4 Jun 2021.

[Sumber: SKMM]