Nokia X10 & X20, telefon pintar siri baharu dijamin 3 tahun kemaskini Android

HMD Global, pemilik jenama telefon pintar Nokia baru-baru ini telah melancarkan siri baharu untuk barisan telefon pintar Nokia, dipanggil sebagai siri X. Terdapat dua model siri X dilancarkan kali ini iaitu Nokia X10 dan Nokia X20.

Telefon ini menampilkan rangkaian 5G terbina padanya, tetapi mengekalkan harga yang masih mampu dimiliki. Malah, spesifikasi Nokia X10 dan Nokia X20 tidak jauh berbeza kerana ia dikuasakan cip pemproses yang sama. Perbezaannya hanyalah pada kamera.

Untuk siri X ini juga, HMD Global telah menjanjikan kemaskini sistem oeprasi (OS) yang lebih panjang. Sebelum ini, telefon pintar Nokia berasaskan Android dijanjikan kemaskini OS selama 2 tahun. Tetapi dengan X10 dan X20, ia dijanjikan kemaskini OS dan kemaskini keselamatan selama 3 tahun.

Persamaan

Pemproses keluaran Qualcomm, Snadpragon 480 5G menjadi penggerak utama untuk Nokia X10 dan Nokia X20. RAM pula disediakan sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 128GB. Kad mikroSD diterima untuk storan tambahan, di dalam slot hibrid bersama dua kad sim 5G.

Paparan di X10 dan X20 dari jenis LCD, berukuran 6.67-inci HD Penuh. Kadar penyegarannya hanya 60Hz dan memiliki tahap kecerahan setinggi 450 nits sahaja. Pengimbas capjari terdapat di sisi telefon, digabungkan dengan butang kuasa.

Kedua-dua telefon dibekalkan bateri berkapasiti 4,470mAh, yang menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Terdapat juga jek audio 3.5mm padanya dengan sistem bunyi mono dari bawah telefon.

Nokia X10 dan Nokia X20 datang bersama sistem operasi Android 11. Dengan jaminan 3 tahun, ia dijangka akan menerima kemaskini Android 12, 13 & 14.

Perbezaan

Nokia X10 dan X20, masing-masing dilengkapi 4 kamera belakang di dalam modul berbentuk bulatan. Serta 1 kamera hadapan di dalam lubang di dahi skrin. Nokia menggunakan kaca optik Zeiss sebagai lensa kamera.

Untuk Nokia X10, 4 kamera belakang ini adalah kamera utama 48MP, kamera ultra lebar 5MP, kamera potret 2MP dan kamera makro 2MP. Di hadapan, ia menggunakan kamera 8MP.

Nokia X10

Kamera Nokia X20 sedikit lebih baik. Di belakang, ia menggandingkan kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 5MP, kamera potret 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula dibekalkan sensor 32MP.

Nokia X20

Ringkas kata, Nokia X20 memiliki kamera yang lebih baik dari Nokia X10, tetapi tidak jauh berbeza kerana ketiadaan kamera telefoto atau telemakro. Hanya berlainan resolusi tertinggi.

Pilihan warna juga disediakan berbeza. Nokia X10 diberi pilihan warna putih atau hijau. Manakala untuk Nokia X20, antara biru dan perang.

Harga jualan

Nokia X10 akan berada di pasaran bermula bulan Jun 2021 manakala Nokia X20 lebih awal, dari bulan Mei 2021. Akan terdapat beberapa varian RAM dan storan akan ditawarkan tetapi Nokia hanya memaklumkan harga untuk varian berikut:

  • Nokia X10 (RAM 6GB + Storan 64GB) – EUR 309 (~RM1,519)
  • Nokia X20 (RAM 6GB + Storan 128GB) – EUR 349 (~RM1,716)

Belum ada makluman mengenai penjualannya di Malaysia. Memandangkan Nokia sentiasa melancarkan telefon pintar Android di sini, pasti X10 dan X20 juga akan dibawa masuk ke Malaysia kelak. Nantikan pengumuman dari Nokia Malaysia tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nokia X10 dan Nokia X20.