Pemandu tak bayar tol, mahkamah arah bayar lebih RM500 ribu kepada PLUS

Terdapat pengguna lebuhraya yang licik, menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri dari membayar tol. Jika ditangkap, mereka boleh dikenakan tindakan yang tegas.

Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) yang menguruskan banyak lebuhraya di Malaysia, mengingatkan pemandu terutama kenderaan berat, supaya bertanggungjawab terutama sekali sewaktu membayar tol. Nasihat ini turut diberikan kepada syarikat supaya memantau perlakuan pemandu atau pekerja mereka yang memandu kenderana syarikat di lebuhraya.

Ini kerana Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, telah memutuskan bahawa sebuah syarikat logistik telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius (vicarious liability), bilamana pemandu dan/atau pekerja syarikat terbabit gagal untuk menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan. Perkara ini merupakan keputusan selepas PLUS membuat tuntutan beberapa tahun lepas.

PLUS telah membuat tuntutan terhadap sebuah syarikat logistik, Berjasa Logistics Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Sin Kung Logistics (KL) Sdn Bhd) yang melibatkan 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dipandu oleh pemandu-pemandu syarikat tersebut telah dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan ini selepas rayuan dibuat oleh syarikat Berjaya Logistics Sdn Bhd, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000.00 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS.

PLUS memohon semua syarikat logistik dan kenderaan berat, supaya memandang berat tentang perkara ini. PLUS juga telah mengambil langkah-langkah pencegahan selepas mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu, termasuk mengambil tindakan undang-undang.

PLUS turut bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa yang berkenaan, bagi membendung kejadian penipuan pemabayaran tol di lebuhraya daripada berulang.