Facebook kenalkan 3 ciri audio lebih hebat dari Clubhouse

Facebook perkenalkan 3 ciri audio barunya iaitu Soundbites, Podcast dan Live Audio Rooms yang boleh dikatakan tampil hampir sama seperti Clubhouse. Ia pada mulanya akan diperkenalkan kepada segelintir pengguna melalui fasa ujian.

Soundbites

Facebook kini sedang menyediakan alat pencipta audio beserta bahan suntingannya. Anda kelak boleh menggunakan koleksi audio Facebook pada latar belakang Story anda untuk menetapkan bunyi yang anda mahu.

Selain itu, peralatan audio ini juga akan membolehkan anda mencipta Soundbites iaitu klip audio singkat. Dengannya, anda boleh merakam atau sunting puisi, jenaka dan boleh juga rakam suara anda sendiri bernyanyi.

Soundbites akan mula diuji kepada sebilangan kecil pengguna dalam beberapa bulan akan datang.

Podcast

Selain itu, dalam beberapa bulan lagi, anda akan dapat mendengar podcast secara langsung di aplikasi Facebook, baik ketika menggunakan aplikasi atau ketika aplikasi itu hanya di latar belakang. Anda juga boleh melakukan podcast anda sendiri dan menemui pendengar baru di Facebook.

Audio di dalam podcast juga boleh dijadikan Soundbites.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh Facebook ini, setiap podcast boleh disimpan dan didengar semula. Pendengar juga boleh memberikan reaksi emoji ketika mendengar podcast itu. Tetapi, masih belum diketahui lagi bagaimana cara menggunakannya di Facebook.

Live Audio Rooms di Facebook dan Messenger

Facebook juga akan memperkenalkan Live Audio Rooms tidak lama lagi, ia merupakan bilik audio siaran langsung yang hampir sama dengan Clubhouse. Ia akan di uji melalui Groups.

Selain itu, ciri ini juga akan diberikan kepada tokoh awam (public figures) supaya mereka dapat mengadakan perbualan dengan tokoh yang lain beserta peminat.

Malah, Facebook juga bercadang untuk membawa ciri ini ke Messanger agar anda boleh berbual dengan rakan anda di situ tanpa melihat wajah.

Di samping itu, Facebok juga akan menawarkan sarikata kepada semua ciri audio ini agar dapat diakses oleh semua pengguna. Jadi, tiada masalah untuk anda mendengar podcast atau sertai bilik audio yang menggunakan bahasa yang anda kurang fasih.

Peluang menjana pendapatan

Ketika pelancaran ini nanti, Facebook akan memperkenalkan pelbagai cara untuk pengguna menjadikan ciri audio untuk menjana pendapatan.

Apabila bilik audio ada nanti, peminat akan dapat menyokong pencipta kandungan dan tokoh awam kegemaran mereka melalui pemberian Stars. Pencipta kandungan yang mendapat stars boleh menukarnya sebagai wang.

Jika anda perasan, ciri ini sudah ada di Facebook Live. Satu bintang bernilai USD 0.01 bersamaan 0.041 sen. Jadi, lebih banyak bintang yang pencipta kandungan dapat, lebih banyak jumlah duit yang akan diterima.

Kemudian, Facebook juga akan menawarkan model kewangan lain, seperti kemampuan mengenakan bayaran untuk akses ke bilik audio melalui satu pembelian atau langganan.

Berdasarkan ciri yang digambarkan oleh Facebook ini, dapat dibayangkan ciri audionya nanti akan lebih menarik dan hebat berbanding di Clubhouse. Ciri audio di Facebok ada banyak fungsi, tetapi di Clubhouse ia hanya tampil sebagai bilik audio biasa sahaja tanpa boleh menyunting audio. Kemudian, pengguna tidak boleh dengar semula audio seperti podcast Facebook.

Malah, Clubhouse hanya untuk pengguna iOS sahaja, Facebook boleh digunakan oleh semua. Jadi sudah tentu ramai yang akan menggunakannya nanti.

[Sumber: TheVerge, Facebook]