Promosi Raya Celcom Home ini ada internet “Tanpa Had” tetapi kuotanya terhad

Sempena bulan Ramadan serta Hari Raya yang bakal tiba, Celcom telah mengadakan promosi khas raya di mana pelanggan boleh menikmati strim video HD, panggilan video dan banyak lagi tanpa had. Ia ditawarkan untuk pelan Celcom Home Wireless Broadband. Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar Lazada bernilai RM500 jika melanggan secara dalam talian, selewat-lewatnya pada 30 April 2021.

Promosi “Tanpa Had” ini menawarkan pelan tertinggi Home Wireless XL, yang berharga RM150/bulan. Pada asalnya, pelan ini datang bersama kuota 1TB Super Video Walla dan Music Walla. Kuota 1TB ini boleh digunakan untuk menonton dan menikmati perkhidmatan YouTube, Netflix, Dimsum, Viu, Astro Go, iFlix, iQiyi, Spotify dan Joox.

Pengguna pelan ini akan turut menerima modem wayarles 4G LTE CAT 11 bersama kontrak 24-bulan. Tetapi Celcom turut memberi peluang pengguna untuk mencuba dahulu, dengan polisi pemulangan dalam 7-hari tanpa dikenakan denda jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ini.

Dari laman web Celcom, promosi Raya ini menjanjikan tawaran “Unlimited” atau “Tanpa Had” untuk data berkelajuan tinggi serta Super Video Walla dan Music Walla. Dapat dilihat nombor kuota 150GB dan 1TB dipadamkan dan diganti dengan “Unlimited”. Tawaran “Tanpa Had” ini juga hanya untuk 2 bulan sahaja selepas ia diaktifkan.

“Tanpa Had” hanya tambah 150GB?

Tetapi ada perkara lebih penting untuk diketahui. Jika disemak pda bahagian Terma & Syarat, sebenarnya promosi Raya ini bukanlah tanpa had. Apa yang pengguna terima sebenarnya hanyalah kuota tambahan 150GB selama 2 bulan. Jadi, kuota pengguna hanya menjadi 300GB untuk 2 bulan pertama, sebelum kembali kepada kuota biasa 150GB sebulan dengan kontrak selama 2-tahun.

Apabila pengguna mencapai had kuota, kelajuan akan disekat kepada 64Kbps. Jika mahu kelajuan kembali pantas, kuota tambahan boleh dibeli pada kadar 10GB untuk RM50, dan 100GB berharga RM150. Kuota tambahan untuk Video dan Music Walla juga boleh dibeli, berharga RM20 untuk 40GB.

Selain itu, kuota untuk Super Video Walla juga masih kekal dengan 1TB, bukannya tanpa had seperti yang diiklankan di laman web Celcom. Sebenarnya, pelanggan hanya mendapat 300GB data berkelajuan tinggi serta 1TB untuk menstrim video dan muzik, hanya pada 2 bulan pertama dalam promosi Raya ini.

Dengan mengiklankan sebagai promosi “Tanpa Had”, sebenarnya ia mengelirukan dan pastinya ramai terpedaya kerana tidak perasan bahawa ia sebenarya memberikan data berkelajuan tinggi berganda sahaja. Walaupun sejumlah 1.3TB kuota termasuk Video Walla sebenarnya lebih dari mencukupi untuk pengguna biasa, menggunakan perkataan “Tanpa Had” adalah salah dan tidak perlu jika ia tidak membawa maksud sebenar. Syarikat telekomunikasi harus berhenti menyalahgunakan perkataan “Tanpa Had”, apabila mereka mengenakan had kuota dan kelajuan terhadap pelan tersebut.

[Sumber: SoyaCincau]