Bitcoin Cash boleh mula didagangkan di Luno Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan Bitcoin Cash (BCH) sebagai aset digital kelima digunakan di Malaysia. Luno sebagai salah satu platform penawaran aset digital (DAX) yang dibenarkan di Malaysia, kini telah menyenaraikan BCH di platform mereka, menyertai wang kripto sedia ada iaitu Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH), Ripple (XRP), dan Litecoin (LTC).

Pengguna Luno kini boleh membuka dompet BCH di dalam akaun Luno mereka, sekaligus memulakan urusan jual beli BCH. Pada waktu berita ini ditulis, BCH didagangkan pada nilai RM5,716 manakala Bitcoin bernilai RM241,331.

Luno juga baru-baru ini telah mengumumkan pengecualian bayaran deposit RM0.70 untuk penghantaran melalui FPX. Ia dikecualikaun jika pengguna membuat bayaran deposit sekurang-kurangnya RM100. Kurang dari itu, masih akan dikenakan caj RM0.70. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Luno.

Jika anda belum tahu, Bitcoin Cash dilancarkan pada Ogos 2017 kerana terdapat kemas kini yang diaktifkan oleh komuniti Bitcoin untuk protokol atau kod teknologi blockchain Bitcoin yang asal. Motif utamanya adalah untuk meningkatkan ukuran blok dalam teknologi blockchain Bitcoin, dari 1MB kepada 32MB bagi memudahkan proses transaksi kewangan.

Hasilnya, Bitcoin Cash dianggap oleh beberapa pihak sebagai alternatif sistem yang lebih cepat dan lebih murah berbanding Bitcoin. Sama seperti Bitcoin, Bitcoin Cash mempunyai bekalan maksimum 21 juta dengan lebih daripada 18 juta kini dalam edaran semasa. Bitcoin Cash adalah salah satu mata wang kripto yang kerap diperdagangkan di dunia dengan permodalan pasaran sebanyak USD18,767,589,942 (RM77,313,086,766).