4 kemas kini baru di Facebook Messenger & Instagram DM yang memudahkan pengguna

Facebook perkenalkan beberapa ciri baru dalam mesej terus (Direct Message – DM) di Instagram dan Facebook Messenger.

Ciri baru yang akan ada di Messenger ialah kebolehan swipe untuk archive (arkib) mesej. Manakala di DM Instagram pula, akan diperkenalkan kebolehan melihat sama ada mesej anda sudah dibaca atau belum, keupayaan untuk menghantar balasan (reply) visual dan merakam audio di DM dengan hanya satu klik sahaja.

Archive (arkib) mesej di Messenger

Ada individu yang mahu archive mesej yang tidak aktif untuk membacanya kemudian, sambil memastikan ruangan di Messenger kemas. Walaupun, Messenger sudah menyediakan ciri archive ini, tetapi untuk menggunakannya, proses yang diperlukan agak rumit. Pengguna perlu tekan mesej yang mahu di archive, kemudian pilih archive.

Oleh itu, dengan ciri baru ini, pengguna hanya perlu tolak mesej ke kanan untuk archive sesebuah mesej. Kemudian mesej itu akan disimpan di bahagian archive. Jadi, proses untuk archive akan menjadi lebih cepat.

Kebolehan lihat mesej sudah dibaca atau belum

Kebiasaannya, untuk ketahui sama ada mesej anda di Instagram DM sudah dibaca atau belum, anda perlu buka mesej itu. Sekiranya ia sudah di baca, mesej anda yang terakhir akan ada tertulis seen.

Dengan kebolehan baru ini, anda tidak perlu membuka mesej lagi. Dari luar kotak mesej sahaja anda boleh ketahui status mesej anda itu. Sekiranya mesej anda masih belum dibaca, mesej anda akan kelihatan dari luar dengan tulisan bold. Jika ia sudah dibaca, anda akan dapat lihat perkataan seen just now dari luar kotak mesej tanpa perlu membukanya.

Hantar balasan visual

Instagram telah tambah fungsi untuk pengguna kepilkan visual dalam DM dengan pilihan gambar atau video yang pengguna mahu. Di DM, anda hanya perlu tekan gambar yang diberikan kepada anda, kemudian tekan ikon kamera untuk membalas visual tersebut dengan visual pilihan anda.

Ciri ini tersedia untuk pengguna iOS dahulu dan ia akan diperkenalkan kepada pengguna Android dalam masa akan datang.

Rakam audio dengan hanya satu klik

Kebiasaannya, untuk menghantar mesej audio di Instagram DM, pengguna perlu tekan ikon mikrofon dari mula bercakap sehingga habis pesanan. Tertera juga arahan press and hold to record pada ikon mikrofon itu.

Tetapi bagi anda yang suka menghantar mesej audio, dengan kemampuan baru ini, anda hanya perlu klik sekali sahaja pada ikon mikrofon, kemudian suarakan pesanan anda sehingga selesai.

Berdasarkan kesemua ciri yang disediakan ini, dapat dilihat ciri tersebut dapat menjimatkan masa dan memudahkan pengguna. Khususnya untuk archive dan membalas audio di Instagram DM.

Ciri yang disediakan ini sudah mula diperkenalkan oleh Facebook, tetapi saya masih belum dapat mencubanya lagi. Mungkin ia akan disediakan kepada pengguna secara fasa demi fasa.

[Sumber: Engadget, Facebook]