PESANAN: Jangan berkumpul di pusat vaksinasi dengan harapan mendapat suntikan AstraZeneca yang berlebihan

Negara Malaysia kini dalam proses pemvaksinan kumpulan pertama vaksin AstraZeneca, dengan lebih 268,000 dos tersedia menerusi slot yang ditempah oleh rakyat Malaysia minggu lepas. Jika anda terlepas mendapatkan slot sewaktu itu, anda dinasihatkan untuk tidak datang ke pusat pemvaksinan, dengan harapan untuk mendapatkan suntikan menerusi dos yang tidak digunakan kerana ketidakhadiran atau sebab lain.

Seperti yang diterangkan oleh Chapree dari Lowyat.net, beliau telah pergi ke World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, terdapat papan tanda yanag menyatakan bahawa, tiada walk-in dibenarkan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa sebarang janji temu.

Sumber: Chapree

Untuk mengelakkan berlakunya pembaziran vaksin AstraZeneca, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 Kebangsaan (JKJAV) telah memaklumkan kami bahawa mereka sedang aktif menggunakan senarai menunggu sesiapa yang telah mendaftar di laman web www.vaksincovid.gov.my pada hari Ahad lepas.

Jumlah individu yang dihubungi bergantung kepada berapa ramai yang membatalkan janji temu mereka, atau tidak muncul pada masa yang ditetapkan. Jika ada slot yang kosong, individu dari senarai menunggu akan dihubungi sekitar pukul 12 tengah hari ke 1 petang dan ditanya sama ada mereka boleh hadir ke PPV pada hari yang sama.

JKJAV telah berkongsi bahawa jumlah individu yang dihubungi dari senarai menunggu sangat terhad kerana kehadiran janji temu melebihi 90%. Jika ada dos berlebihan kerana tidak hadir atau pembatalan minit akhir, setiap PPV akan bertanyakan sesiapa di sekitar kawasan untuk menerima suntikan vaksin.

Suntikan vaksin AstraZeneca akan diberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai janji temu, diikuti senarai menunggu yang telah dihubungi, sebelum diberikan kepada orang ramai yang berada di sekitar PPV.

Disebabkan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tidak digalakkan untuk menunggu dan beratur di PPV. Orang ramai diminta untuk menunggu tarikh janji temu mereka tiba atau apabila dimaklumkan untuk menerima suntikan vaksin.

Pemberian suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela kini memasuki hari ke-4. JKJAV juga memaklumkan bahawa tiada pembaziran vaksin berlaku kerana kehadiran amat memberangsangkan. Pada 3 hari pertama, sebanyak 11,673 individu telah menerima suntikat vaksin AstraZeneca menerusi 3 PPV iaitu WTCKL, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Vaksinasi di IDCC Shah Alam akan bermula pada 24 Mei 2021.

Jika anda berminat untuk mendaftar vaksin AstraZeneca, pusingan tempahan slot seterusnya akan dibuka minggu hadapan. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin juga telah berkongsi bahawa pemvaksinan AstraZeneca secara sukarela akan dibuka kepada orang ramai di luar Lembah Klang selepas ini.

Pastikan anda telah mendaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum membuat tempahan untuk slot sukarela vaksin AstraZeneca. Untuk mendaftar PICK, anda boleh melakukannya menerusi aplikasi MySejahtera, laman web www.vaksincovid.gov.my atau menghubungi talian 1-800-888-828.