Saksikan Boboiboy dan watak ibunya dalam iklan raya Memori Eidulfitri

Bersempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba pada 13 Mei 2021 ini, Monsta meneruskan sambutan 10 tahun bersama Boboiboy dengan bertemakan Boboiboy Beyond. Dalam sambutan ini juga, Monsta bawakan dua program istimewa raya Boboiboy.

Iklan raya Memori Eidulfitri

Salah satu daripada program khas Monsta tahun ini adalah iklan raya yang bertemakan Memori Eidulfitri.

Buat pertama kalinya, Monsta menampilkan seisi keluarga adiwira ini di dalam beberapa adegan nostalgia seperti Boboiboy bersama ayahnya Amato, Tok Aba dan juga Umi iaitu nenek kepada Boboiboy. Melalui iklan ini juga, para peminat dapat menyaksikan kemunculan pertama ibu Boboiboy dalam tempoh beberapa saat.

Iklan raya ini berdurasi selama 4 minit 58 saat dan ia sudah dimuatnaik di laman YouTube rasmi Monsta serta Facebook rasmi Boboiboy.

Selain itu, iklan ini turut ditayangkan di kaca TV dan laman-laman digital utama, bukan sahaja di Malaysia, malah akan turut ditayangkan di stesen televisyen Indonesia.

Lagu raya Aneka Baju Raya

Di samping itu, Monsta juga akan bawakan lagu raya popular Papa Pipi, Aneka Baju Raya dengan olahan baru yang dinyanyikan oleh selebriti terkenal Hannah Delisha.

Lagu ‘Aneka Baju Raya’ ini akan dimainkan di saluran-saluran radio utama tanah air dan juga pelantar muzik digital. Klip penuh muzik video lagu Aneka Baju Raya versi Hanna Delisha boleh ditonton di YouTube rasmi Monsta, Facebook dan Tik Tok rasmi Papa Pipi tidak lama lagi.

Selain daripada dua kandungan raya yang menarik ini, anda juga boleh saksikan himpunan koleksi iklan raya 2021 yang tiada lagi tema balik kampung, melalui platform Youtube. Ada 28 iklan kesemuanya.