Oppo Find X3 Pro edisi planet Marikh tampil dengan RAM 16GB

Oppo Find X3 Pro kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM4,299. Ia hadir dengan RAM 12GB serta storan 256GB. Tapi di China, Oppo Find X3 Pro turut ditawarkan dalam varian lebih tinggi spesifikasi iaitu RAM 16GB dan storan 512GB.

Varian paling tinggi itu kini lebih istimewa kerana ditawarkan dalam edisi istimewa yang digelar Oppo Find X3 Pro Mars Exploration. Oppo melancarkannya bersempena dengan kejayaan China mendaratkan kapal angkasa Tianwen-1 di atas permukaan Marikh baru-baru ini.

Bezanya edisi ini dengan yang biasa ialah ia didatangkan dengan antara muka bertemakan planet merah itu dan beberapa filter gambar yang boleh mengubah mood gambar jadi seakan Marikh. Kemudian, pembeli juga terima satu warna baru iaitu kelabu yang dikhaskan untuk varian ini sahaja. Telefon ini juga berada dalam kotak khas semasa dibeli.

Lain-lain spesifikasi masih dikekalkan seperti:

  1. SoC Snapdragon 888
  2. Paparan 6.7” QHD+ 120Hz AMOLED
  3. Bateri 4,500mAh
  4. Pengecasan pantas 65W dan 30W wayarles

Di bahagian kamera, anda beroleh kombinas kamera 50MP (utama), 50MP (ultralebar), 13MP (telefoto), dan 3MP (mikrolens). Untuk selfie, anda diberikan kamera 32MP.

Pengguna di China boleh dapatkan telefon ini pada harga RMB6,999 (RM4,488), harganya sama macam Oppo Find X3 Pro biasa (RAM 16GB + storan 512GB).

Sumber: GSMArena