Realme 8 5G akan tiba di Malaysia, dijangka lebih murah

Perang telefon 5G kian sengit dalam kelas pertengahan. Semakin banyak telefon pintar dengan harga sekitar RM1,000 akan memasuki pasaran Malaysia dan salah satunya pasti datang dari Realme, jenama yang menawarkan harga menarik untuk prestasi hebat.

Hari ini, Realme Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar Realme 8 5G di Malaysia. Tarikh pelancaran telah ditetapkan pada hari Khamis, 27 Mei 2021. Majlis pula akan diadakan secara dalam talian, menerusi Facebook Realme Malaysia pada pukul 12 tengah hari.

Buat masa ini, masih tiada maklumat mengenai spesifikasi Realme 8 5G. Tetapi kita boleh merujuk dengan pasaran India, memandangkan Realme 8 Pro di sana adalah serupa dengan model yang dilancar di Malaysia.

Realme 8 5G menggunakan cip Mediatek Dimensity 700 7nm bersama RAM LPDDR4x 8GB dan storan UFS 2.1 128GB.

Skrinnya dari jenis LCD 90Hz, berukuran 6.5-inci HD Penuh. Terdapat lubang di sudut atas skrin memuatkan kamera hadapan 16MP. Di belakang, ia dilengkapi kamera utama 48MP, kamera makro 2MP dan kamera hitam putih 2MP.

Bateri pula agak besar, berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Sistem bunyi kelihatan mono dan ia masih ada jek audio. Telefon ini memiliki tiga slot kad, dua untuk kad sim nano 5G dan satu lagi kad mikroSD sehingga 1TB.

Realme 8 5G menggunakan sistem operasi Realme UI 2.0 berasaskan Android 11. Pengimbas capjari pula di sisi, digabungkan dengan butang kuasa.

Secara kasar, spesifikasi Realme 8 5G dilihat lebih rendah berbanding Realme 7 5G yang telah dilancar di Malaysia akhir tahun lepas. Ini kerana Realme 7 5G dilengkapi cip Mediatek 800U 5G, skrin LCD 120Hz dan ada kamera ultra lebar.

Realme 7 5G dilancarkan pada harga RM1,299 dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Adakah Realme merancang untuk menjual Realme 8 5G lebih murah, melihatkan spesifikasinya seperti turun taraf? Nantikan laporan dari kami pada majlis pelancarannya, 27 Mei 2021 akan datang.