WWDC 2021: Kecerdasan pintar Live Text iOS 15 boleh mengecam teks & nombor masa nyata

Apple mempertingkatkan lagi kehebatan kecerdasan pintar di peranti mereka dengan kebolehan Live Text. Menggunakan pemproses Enjin Neural Apple, aplikasi kamera boleh mengecam perkataan dengan pantas.

Pengguna boleh menghalakan kamera ke mana-mana papan tanda, menu makanan atau apa jua yang memaparkan teks dan nombor, dan ia akan mengecam perkataan tersebut supaya boleh disalin utuk digunakan di mana-mana tempat. Tidak perlu lagi menaip secara manual, hanya sapu jari di atas perkataan yang dimahukan.

Live Text juga mampu menterjemah perkataan yang telah dicam masa nyata. Untuk permulaan, Live Text di iOS 15 akan mampu mengecam 7 bahasa iaitu Inggeris, China, Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol dan Portugis.

Spotlight di dalam iOS 15 pula akan boleh mengecam teks dan nombor di dalam gambar yang telah diambil atau dikongsikan dari rakan. Ia akan memaparkan lebih banyak maklumat berkaitan gambar setelah membuat pengecaman, seperti siri televisyen, tempat popular, jenis makanan dan sebagainya.

Perkara ini sebenarnya bukanlah perkara asing di dalam Google Translate. Malah, Google Translate menyokong lebih daripada 7 bahasa dan boleh membuat menterjemah masa nyata.

Kecerdasan pintar yang baharu ini ditambah lagi dengan Photos Memories. Ia akan mencipta video secara automatik berdasarkan gambar & video di dalam koleksi pengguna, ditambah dengan lagu yang bersesuaian daripada Apple Music. Satu lagi fungsi yang serupa telah ada di Google Photos.