Satu ujian klinikal fasa 3 vaksin baru COVID-19 sedang mencari sukarelawan

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memaklumkan menerusi portal kpkesihatan.com yang ada satu program ujian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19 telah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 28 Mei 2021 lalu.

Vaksin yang akan diuji ialah SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated yang dileluarkan oleh Shenzhen Kangtai Biologigal Products Co., Ltd.

Sebanyak 8 pusat penyelidikan tempatan akan mengelolakan ujian klinikal ini dan mereka kini sedang mencari 3,000 sukarelawan tidak mengira jantina berusia 18 tahun ke atas. Ujian klinikal ini akan berlangsung untuk sekurang-kurangnya 15 bulan.

Menurut DG Hisham, ada beberapa negara lain juga turut sedang menjalankan ujian klinikal fasa 3 vaksin yang sama seperti Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

Selain ujian klinikal ini, kami juga ada laporkan satu lagi ujian klinikal fasa 3 yang telah berlangsung sekitar Januari 2021 yang lalu. Ujian klinikal tersebut melibatkan vaksin yang dibangunkan Institute of Medical Biologu Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) China. Malaysia adalah negara pertama luar China yang ujian fasa 3 vaksin ini dijalankan.

Bercerita tentang vaksin keluaran China, Sinovac adalah satu-satunya vaksin keluaran negara China yang sedang digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Satu lagi vaksin China yang ada dalam portfolio kita ialah CanSinoBio tapi ia masih belum mendapat kelulusan untuk digunakan.

Kelebihan CanSinoBio berbanding vaksin-vaksin lain yang kita gunakan sekarang ialah, CanSinoBio hanya perlukan 1 dos untuk lengkapkan program imuniti dan ia dijangka memudahkan program pemvaksinan dijalankan dalam kalangan penduduk pedalaman seperti Sabah & Sarawak.