Jual pakej vaksin di Facebook, dua suspek ditahan polis

Polis ada mengesan kewujudan sindiket penipuan yang menawarkan pakej vaksin Covid-19. Suspek melakukan perkara ini di laman Facebook dan melalui panggilan telefon kepada mangsa.

Menurut Datuk Kamarudin Md. Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, taktik itu terbongkar selepas pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 26 dan 27 tahun di Selangor pada 16 Jun 2021.

Tangkapan itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang mendakwa, dia ada mendapat maklumat daripada rakannya berkaitan tawaran pakej vaksin Covid-19 itu.

Individu yang berminat akan didaftarkan dalam Program Vaksinansi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah. Seterusnya mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu dan pembayaran perlu dibuat selepas nama tersenarai sebagai penerima vaksin.

Walau bagaimanapun, berdasarkan semakan, pendaftaran SCVP dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu.

Melalui kes ini, kira-kira 30 orang sudah dihubungi dan 10 peratus dalam jumlah itu sudah menyatakan minat untuk membeli pakej tersebut. Harga vaksin yang ditawarkan adalah RM450 untuk individu tempatan manakala untuk warga asing harganya ialah RM800.

Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Saluran pendaftaran vaksin yang betul

Kerajaan telah sediakan lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian dan secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia, iaitu:

  1. Aplikasi MySejahtera
  2. Laman vaksincovid.gov.my
  3. Telefon hotline di 1800 888 828
  4. Hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta
  5. Menerusi program bantuan (outreach) bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman

Oleh itu, jangan terpedaya dengan mana-mana iklan yang menawarkan pakej vaksinasi Covid-19 berbayar. Masyarakat perlulah sentiasa peka dengan inisiatif vaksinasi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Pendaftaran adalah percuma dan anda hanya perlu menunggu giliran untuk mendapatkannya.

Untuk ketahui kemaskini maklumat perkembangan vaksin Covid-19 di Malaysia pada setiap minggu, anda boleh kunjungi saluran YouTube SoyaCincau BM.

[Sumber: Kosmo]