Memberikan nama yang unik kepada anak yang baru lahir membuatkan kanak-kanak itu dikenali ramai dengan sekelip mata. Berlaku di Filipina, seorang pembangun laman web, memberikan nama anaknya itu berkaitan dengan kerjayanya, iaitu Hypertext Mark-up Language Rayo Pascual, atau secara ringkasnya HTML.
Perkara ini dikongsikan melalui Facebook oleh ibu saudara bayi tersebut yang bernama Sincerely Yours Pascual pada 10 Jun lalu.
Ayah bayi itu memberitahu laman berita Filipina, Inquirer.net bahawa meletakkan nama yang luar biasa kepada anak adalah sebahagian daripada tradisi keluarga mereka. Malah, namanya sendiri juga unik iaitu Macaroni 85, lalu disingkatkan menjadi nama samaran Mac.
Mac juga mempunyai seorang kakak bernama Spaghetti 88. Kakaknya itu meneruskan nama tema makanan kepada dua anaknya dengan memberikan nama mereka Cheese Pimiento dan Parmesan Cheese. Masing-masing dipanggil Chippy dan Peewee.
Ibu HTML, Salie Rayo Pascual mengatakan bahawa dia gembira dapat menyambut bayinya yang baru lahir itu, malah saudara-maranya juga berasa sangat gembira dengan nama istimewa bayi itu.
Sehingga kini, perkongsian di Facebook tersebut menerima lebih daripada 12 ribu reaksi, lebih 2 ribu komen dan 9 ribu perkongsian. Anda pernah terfikir untuk beri nama bertema kepada anak anda? Contohnya nama bunga macam Lili, Mawar, Kemboja dan Dahlia. Unik juga nama bertema ini, senang untuk orang ingat.
[Sumber: MalayMail]