Tidak dinafikan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mempunyai banyak cabaran terutamanya dalam kalangan pelajar. Dengan mengikuti pembelajaran secara dalam talian, tidak semua pelajar mampu memberi tumpuan sepanjang kelas berlangsung.
Anda boleh ketahui anak anda hilang fokus belajar apabila mereka melakukan perkara seperti bersandar pada bangku, menghentak kaki, melihat ke luar tingkap dan pergi ke tandas dengan kerap. Sebelum anak anda menjadi lebih terganggu, berikut merupakan 5 cara yang anda boleh ikut untuk memastikan anak anda sentiasa fokus ketika belajar secara dalam talian.
1. Sediakan ruang belajar untuk anak
Adalah perkara yang sangat penting untuk anda menyediakan kawasan yang tenang khusus untuk anak anda belajar secara dalam talian di rumah. Ia dapat mengurangkan rasa terganggu dengan persekitaran yang tidak selesa serta bantu mereka memberi tumpuan. Ruang pembelajaran juga haruslah berasingan dengan katil, kerana itu merupakan punca pelajar tidur semasa kelas berlangsung.
Sekiranya ruang dalam rumah anda terhad, anda boleh gunakan meja di ruang lain untuk membolehkan mereka belajar. Contohnya meja di dapur, alihkan semua barang yang ada di atasnya, seterusnya matikan TV untuk elak daripada mengganggu.
2. Kurangkan gangguan
Buat satu senarai perkara yang boleh mengganggu tumpuan anak anda, contohnya seperti permainan video, permainan komputer, media sosial, TV, mainan dan haiwan kesayangan. Kemudian, cari cara untuk hadkan aktiviti anak anda dengan perkara tersebut, supaya mereka dapat fokus kepada pelajaran.
Contohnya, jika anak anda sering membuka media sosial ketika waktu belajar, anda boleh sekat aktiviti itu di perantinya. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan aplikasi Family Link.
3. Rehat sebentar
Mungkin sukar bagi sebahagian kanak-kanak untuk tumpukan perhatian sepanjang kelas dalam talian berjalan, tanpa berehat. Menurut Linda Carling, saintis penyelidikan bersekutu di Johns Hopkins University School, seorang kanak-kanak kecil memerlukan rehat selama 5 hingga 25 minit setelah melakukan tugas.
Sewaktu tempoh rehat itu, anda boleh ajak anak anda jauh dari perantinya dan lakukan senaman regangan. Selain itu, mereka juga boleh berehat sambil menyanyi lagu kegemaran dan menari.
4. Sediakan kalendar
Pembelajaran dalam talian sememangnya mencabar kerana pelajar berada di rumah dan terlalu banyak gangguan lain. Hal ini boleh membuatkan anak anda terlupa tentang kerja sekolah mereka, jadual dan tarikh-tarikh penting seperti tarikh tamat tugasan.
Untuk memastikan kerja anak anda anda teratur, anda boleh bantu mereka dengan mencatat tarikh penting itu di kalendar dan gunakan cara yang kreatif supaya mereka mengingatinya. Contohnya seperti menandakan di kalender tarikh hantar tugasan mata pelajaran, dengan mengikut warna. Seperti matematik ditandakan warna biru, Bahasa Melayu warna hijau dan Sains warna merah.
5. Buat jadual belajar yang sama dengan waktu sekolah
Meskipun belajar dari rumah, cipta satu jadual untuk anak anda yang sama waktunya ketika mereka bersekolah. Ini bermaksud, mereka mempunyai waktu bangun tido yang sama, waktu kelas, waktu rehat dan waktu tamat belajar yang sama.
Apabila mereka mempunyai jadual belajar yang konsisten, anda boleh merancang hari kerja anda dan membiarkan mereka dengan lebih mudah beralih dari waktu sekolah ke waktu ulang kaji.
[Sumber: Understood, USA Today]
[Sumber gambar: Edutopia]