Twitter Fleets, fungsi cerita terhapus selepas 24 jam akan dihapuskan selama-lamanya

Watch this Fleets before it is gone. Ini adalah notis yang biasa diterima oleh pengguna Twitter di telefon pintar. Fleets berfungsi seperti Instagram dan Facebook Stories di mana ia akan terpadam sendiri selepas 24 jam. Dan selepas ini, Fleets akan terpadam selama-lamanya.

Twitter telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan fungsi Fleets bermula 3 Ogos 2021. Ia ditamatkan kerana tidak mencapai apa yang dirancang oleh Twitter pada asalnya.

Menurut Twitter, mereka memperkenal Fleets sebagai satu cara untuk membantu pengguna berbual dalam cara yang lebih mudah dan kurang tekanan. Bagaimanapun, Fleets lebih banyak digunakan oleh pengguna tegar yang sering berciap sepanjang masa.

Malah, Twitter tidak melihat peningkatan ketara pengguna baru di platform mereka. Untuk itu, Twitter akan mencuba cara lain untuk pengguna berkongsi kisah mereka di Twitter berdasarkan pelbagai maklumat dan data yang telah mereka kumpul melalui Fleets.

Twitter pertama kali memperkenal Fleets pada bulan November tahun lepas. Ia menampilkan cara yang berbeza dengan ciapan biasa, seperti tiada Like dan Retweet. Baru-baru ini, Twitter telah memperkenal Spaces, bilik sembang audio yang menyerupai ClubHouse. Mungkin Spaces juga akan ditamatkan kelak, jika ia tidak mencapai apa yang diharapkan.

[Sumber: Engadget, Twitter]