Poco X3 GT akan muncul akhir bulan ini

Poco Malaysia hari ini telah mengeluarkan jemputan untuk majlis pelancaran produk baru mereka tidak lama lagi. Produk tersebut adalah telefon pintar Poco X3 GT dan membawakan tema “Speed Past Power” (kelajuan mengatasi kuasa).

Majlis pelancaran ini akan dibuat secara dalam talian pada hari Rabu, 28 Julai 2021, pukul 8 malam. Orang ramai boleh menyaksikan secara langsung menerusi Facebook Poco Malaysia.

Buat masa ini, tiada maklumat rasmi mengenai Poco X3 GT kerana ia masih belum dilancarkan. Tetapi cakap-cakap di internet memaklumkan bahawa ia sebenarnya satu lagi penjelmaan semula daripada telefon pintar Xiaomi yang telah dilancarkan.

Seorang pembocor berita, Abhishek Yadav memaklumkan bahawa Poco X3 GT adalah telefon pintar Redmi Note 10 Pro 5G yang telah dilancarkan di China. Nama telefon ini telah mendapat pengesahan bukan sahaja di SIRIM Malaysia, malah daripada TKDN Indonesia. Bermakna, ia sedia dijual di pasaran Asia Tenggara sekurang-kurangnya.

Poco X3 GT di SIRIM

Jika Poco X3 GT adalah telefon pintar yang sama dengan Redmi Note 10 Pro 5G, bermakna ia akan dikuasakan cip Mediatek Dimensity 1100 5G, skrin LCD 120Hz, kamera utama 64MP, speaker stereo, bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 67W.

Redmi Note 10 Pro 5G di China

Baru-baru ini, Xiaomi turut mengumumkan bahawa Redmi Note 10 Pro 5G ditambah fungsi RAM maya, memberikannya kebolehan menambah RAM sehingga 2GB, menggunakan storan dalaman. Mungkin Poco X3 GT akan memiliki keupayaan yang sama kelak.

Nantikan laporan daripada kami mengenai pelancaran Poco X3 GT pada 28 Julai nanti.