Cara letak “palang” pada salinan kad pengenalan guna telefon

Sekarang, ada macam-macam bantuan sedang disalurkan pihak kerajaan bagi meringankan impak COVID-19 ke atas ekonomi rakyatnya. Contohnya, untuk moratorium bank di bawah inisiatif PEMULIH, kita boleh mendapat penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga 6 bulan lamanya.

Namun, ada keadaan yang memerlukan kita memuat naik dokumen-dokumen tertentu secara dalam talian, misalnya salinan kad pengenalan. Tapi, bagaimanakah untuk elakkannya daripada disalah guna? Untuk salinan fizikal, kita biasanya akan letakkan “palang” ataupun tera air bagi menyatakan tujuan salinan tersebut dihasilkan.

Jabatan Pendaftaran Negara sendiri menyarankan amalan meletakkan tera air pada salinan kad pengenalan untuk elak disalah guna.

Artikel ini akan mengajar anda cara untuk letakkan tera air pada salinan dokumen digital dengan hanya menggunakan telefon.

Cara ini tidak terhad untuk kad pengenalan sahaja, malahan apa-apa sahaja dokumen dalam bentuk gambar yang ingin anda ingin diletakkan

Bahagian 1: Imbas kad pengenalan

Saya lebih suka imbas kad pengenalan dahulu sebelum meletakkan tera air kerana hasilnya akan jadi lebih kemas dan jelas. Untuk tujuan tersebut, saya sarankan guna APP ApnaScan (Android) disebabkan ia percuma dan tidak dibanjiri iklan.

Semasa mengambil gambar, tak perlu jajarkan kamera untuk berseranjang dengan kad pengenalan kerana sudut pandang gambar boleh disunting selepas gambar diambil. Cukup sekadar semua kad pengenalan mengisi framing gambar.

Selepas gambar diambil, APP akan meminta anda menyunting kedudukan 4 penjuru dokumen. Di sinilah anda boleh perbetulkan sudut gambar dokumen.

Selesai APP memproses, salinan kad pengenalan akan nampak leper. Tukan butang Save dan di halaman seterusnya, cari butang Share. Dalam pilihan yang ada, tekan pilihan Save image to gallery.

Bahagian 2: Letak tera air pada salinan kad pengenalan

Lancarkan APP Snapseed (Android, iOS). Kemudian, buka gambar salinan kad pengenalan yang disimpan di Bahagian 1.

Tekan bahagian Tools, anda akan dihidangkan dengan pelbagai peralatan menyunting. Cari peralatan bernama Text.

Pilih gaya tera air yang diingini, saya sarankan L2 kerana teksnya tebal dan nampak lebih formal.

Double tap teks tera air untuk menyunting teks. Tuliskan tujuan salinan kad pengenalan ini dihasilkan. Bila selesai tekan simbol tick. Kemudian pilih warna apa yang diinginkan untuk tera air dan yang terakhir tahap ketelapan warna.

Untuk simpan, tekan butang Export dan tekan Save. Satu salinan kad pengenalan yang dah ada tera air akan berada dalam folder Snapseed.