Huawei MatePad 11 berkuasa Snapdragon 865 akan dilancar di Malaysia pada 27 Julai

Huawei Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan membawa satu lagi tablet berkuasa tinggi ke Malaysia tidak lama lagi. Huawei MatePad 11 dengan kuasa Snapdragon 865, akan dilancarkan di Malaysia pada 27 Julai 2021.

Prestasi tablet ini terletak di bawah MatePad Pro 2021 tetapi jauh lebih berkuasa daripada MatePad 10.4 2021. MatePad 11 menggunakan sistem operasi terbaru Huawei, HarmonyOS 2.0 yang telah sedia ada di MatePad Pro 2021. Bermakna ia tiada sokongan aplikasi Google dan Google Mobile Services (GMS).

Walaupun menggunakan cip Snapdragon 865, tablet ini tidak memiliki ruang kad sim. Ia menyokong WiFi 6 802.11ax bersama Bluetooth 5.1. Dari laman produk Huawei MatePad 11 di Lazada dan Shopee, ia disenaraikan bersama RAM 6GB dan storan 128GB. Kad mikroSD turut diterima untuk menambah storan, sehingga 1TB.

Skrin tablet ini berukuran 10.95-inci daripada jenis TFT LCD, dengan kadar penyegaran 120Hz. Bateri pula sebesar 7,250mAh dan menyokong pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C. Tiada jek audio 3.5mm tetapi ia memiliki sistem bunyi 4 pembesar suara.

Terdapat dua kamera pada tablet ini. Di hadapan ia ada kamera 8MP F2.0 fokus tetap dan di belakang pula kamera 13MP F1.8 fokus automatik.

Dengan ekosistem produk Huawei dan HarmonyOS 2.0, MatePad 11 boleh digunakan untuk berkongsi fail dan skrin, bersama laptop dan telefon pintar Huawei secara lancar melalui Huawei Share. Ia juga menyokong aksesori tambahan seperti papan kekunci, tetikus dan M-Pencil gen-2 untuk meningkatkan lagi produktiviti kerja.

Dengan prestasi lebih tinggi dan skrin lebih hebat, sudah pasti harga MatePad 11 akan lebih mahal daripada MatePad 10.4 2021 yang berharga RM1,499 di Malaysia. Adakah harganya akan melebihi RM2,000? Nantikan laporan kami pada hari pelancarannya.

Di samping itu, Huawei Malaysia turut mengumumkan ketibaan barisan laptop MateBook baru pada 27 Julai nanti. Antaranya MateBook D15 dengan kuasa Intel Core i5 gen-10 dan gen-11, MateBook 14 dengan AMD Ryzen 4000 H serta MateBook D14 berkuasa Intel Core i3 gen-10.