Terlepas jawab panggilan? Sertai panggilan WhatsApp yang sedang aktif dengan cara ini

Pernah tak anda berada dalam situasi, terlepas dari menjawab panggilan video atau suara secara berkumpulan di WhatsApp, kerana anda sedang sibuk masak, mengemas, berada di dalam tandas atau secara tidak sengaja tertekan ignore (abaikan)? Sudah tentu anda rasa keberatan, untuk meminta keluarga atau rakan anda menghubungi anda semula kan?

Selepas ini, apabila anda tidak sempat menjawab panggilan berkumpulan di WhatsApp, anda boleh sertainya semula selagi panggilan itu masih belum ditamatkan.

Sama juga, jika seseorang dalam kumpulan anda terlepas dari menjawab panggilan anda, mereka masih boleh menyertainya bila-bila masa, selagi panggilan itu masih aktif.

Cara sertai panggilan yang sedang aktif

Apabila anda menerima panggilan berkumpulan, ada dua pilihan akan diberikan pada paparan anda iaitu ignore (abaikan) dan join (sertai). Jika anda pilih ignore anda boleh sertai panggilan itu semula dengan cara ini:

  1. Pergi ke bahagian Calls
  2. Pilih panggilan berkumpulan yang anda ingin sertai
  3. Tekan join

Selain itu, WhatsApp juga telah mencipta paparan maklumat panggilan, di situ anda boleh lihat siapa yang sudah sertai panggilan dan siapa yang telah diajak tetapi belum menyertainya. Cara untuk melihatnya ialah:

  1. Pergi ke bahagian Calls
  2. Kemudian pilih panggilan berkumpulan yang anda mahu lihat ahlinya
  3. Seterusnya, akan dipaparkan kenalan yang aktif dan tidak aktif. Jika aktif akan ada simbol bulat berwarna hijau di tepi nama kenalan anda itu, jika tidak aktif namanya akan kelihatan pudar.

Selain itu, anda juga boleh menambah kenalan lain ke dalam talian ketika panggilan sedang berlangsung. Anda hanya perlu swipe paparan panggilan itu ke atas dan kemudian tekan add participant. Individu itu boleh sertai panggilan tersebut pada bila-bila masa juga, selagi panggilan masih berlangsung.

Namun, ada kemungkinan ahli dalam kumpulan yang belum sertai panggilan itu, tidak sedar dengan panggilan yang masuk. Oleh itu, anda boleh berikan notifikasi kepada mereka meskipun anda sedang berada dalam panggilan. Caranya ialah:

  1. Swipe paparan panggilan ke atas
  2. Lihat nama yang belum sertai panggilan
  3. Tekan perkataan ring di sebelah kanan namanya

Ciri baru ini sudah mula dilancarkan tetapi ia mungkin memerlukan sedikit masa untuk hadir di aplikasi semua pengguna.

Anda perlu tahu, melalui WhatsApp, hanya lapan peserta sahaja boleh sertai satu panggilan dalam satu masa dan anda tidak boleh mengeluarkan kenalan anda semasa panggilan video kumpulan sedang aktif. Selain itu, anda juga tidak boleh menambah kenalan yang telah anda sekat di WhatsApp ke dalam panggilan dan individu yang anda sekat itu juga tidak boleh melakukan hal yang sama.

[Sumber: MalayMail, Facebook, WhatsApp]