Tablet baru Xiaomi yang belum dilancar dikesan di SIRIM

Sudah sekian lama Xiaomi tidak melancarkan tablet keluaran mereka di Malaysia, sejak Mipad yang pertama. Malah, kali terakhir Xiaomi sendiri melancarkan tablet adalah Mipad 4, pada tahun 2018. Ura-ura mengenai tablet baru Xiaomi akan dihasilkan semakin kuat tahun ini dan kita mungkin akan melihatnya berada di Malaysia nanti.

Kami mendapat tips yang memaklumkan bahawa satu produk baru Xiaomi telah didaftarkan di pengkalan data SIRIM. Dari pemeriksaan kami, ia dinamakan Xiaomi Pad 5 dengan nombor model 21051182G dan dikategorikan sebagai Tablet PC. Pendaftaran ini diluluskan pada 21 Julai 2021.

Sayangnya tidak ada maklumat lain boleh diambil daripada pendaftaran di SIRIM ini. Tetapi sudah ada cakap-cakap di internet yang bercerita mengenainya.

Produk Xiaomi dengan nombor model yang sama telah dikesan didaftarkan di EEC Eropah dan FCC Amerika Syarikat. Maklumat yang terdapat pada pendaftaran ini menunjukkan bahawa Xiaomi Pad 5 akan memiliki kuasa pengecasan sehingga 22.5W (10V/2.25A), menyokong WiFi 802.11ac dan menggunakan sistem operasi MIUI 12.5.

Sumber

Sementara berita yang belum sah menyatakan bahawa Xiaomi Pad 5 akan dikuasakan cip Mediatek Dimensity 1200 dan bateri 8,250mAh. Malah, dikatakan Xiaomi akan memperkenal sehingga 3 tablet untuk generasi ke-5 ini. Tetapi hanya 1 model yang akan dibawa ke pasaran antarabangsa.

Penghasilan tablet kelihatan agak suram kebelakangan ini terutama di kalangan pengeluar Android, dengan hanya Samsung masih aktif mengeluarkan model baru setiap tahun. Di waktu pandemik dan ramai bekerja dan belajar dari rumah, tablet banyak membantu dan kedatangan tablet baru Xiaomi pastinya berita yang baik untuk pengguna.

Terima kasih kepada @Hafiz_abdullah atas tips yang diberikan.

[Gambar: XiaomiPlanet]