Xiaomi di China baru sahaja selesai melancarkan beberapa produk baharu mereka. Salah satu daripadanya adalah tablet siri Mi Pad 5. Ini adalah tablet baharu Xiaomi selepas 3 tahun melancarkan Mi Pad 4.
Terdapat dua model yang diperkenalkan dalam siri tablet baru ini iaitu Mi Pad 5 dan Mi Pad 5 Pro. Tidak banyak perbezaan antara keduanya, terutama sekali saiz skrin dan rupa fizikal.
Dengan pelancaran siri Mi Pad 5, Xiaomi turut mengumumkan sistem operasi MIUI For Pad. Cara ini serupa dengan iPadOS di mana MIUI for Pad adalah sistem operasi Android dengan antaramuka MIUI. Ia dioptimasikan untuk penggunaan skrin besar tablet dan memberi pengalaman menyerupai komputer.
Mi Pad 5
Xiaomi memperkasa tablet Mi Pad 5 dengan cip Qualcomm Snapdragon 860, RAM LPDDR5 LPDDR4x sebesar 6GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Bagaimanapun tablet ini tiada 5G, hanya datang dalam versi WiFi dengan sokongan WiFi 6.
Paparan tablet ini berkeluasan 11-inci, memiliki resolusi tinggi 2K WQHD+ (2560×1600), kecerahan setinggi 500 nits dan kadar penyegaran sehingga 120Hz. Skrin jenis LCD ini menyokong beberapa ciri canggih seperti Dolby Vision, HDR10, Gamut Warna P3, TrueTone, SunShine 3.0 serta nisbah kontras 1,500:1. Pengimbas capjari juga ada, digabungkan dengan butang kuasa.
Kamera pula hanya ada dua di tablet ini iaitu kamera belakang 13MP dan kamera hadapan 8MP. Kamera hadapan ini boleh mengecam wajah untuk membuka kunci skrin dan ia terletak di bingkai atas, menjadikan skrin bersaiz penuh tanpa takuk dan lubang.
Bateri dengan kapasiti 8,720mAh di pasang di Mi Pad 5 dan ia menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C. Tiada pengecasan wayarles di tablet ini.
Sistem bunyi di Mi Pad 5 dihasilkan oleh empat pembesar suara, dua dipasang pada setiap sisi dan menyokong teknologi Dolby Atmos.
Terdapat tiga warna disediakan untuk Mi Pad 5 iaitu hitam, putih dan hijau.
Mi Pad 5 Pro
Memiliki rupa yang serupa dengan versi biasa, peningkatan di Mi Pad 5 Pro adalah penggunaan cip Snapdragon 870 yang lebih berkuasa. Malah, ini adalah tablet paling berkuasa terdapat di pasaran. RAM LPDDR5 turut digunakan dengan pilihan sehingga 8GB, bersama storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB.
Paparan yang serupa di Mi Pad 5 turut digunakan oleh Mi Pad 5 Pro. Kamera hadapan juga sama, 8MP yang dipasang di bingkai skrin. Tetapi untuk kamera, terdapat dua kamera di belakangnya dengan tetapan berbeza untuk versi WiFi dan 5G.
Bagi versi WiFi, ia menggunakan gandingan kamera utama 13MP dan kamera potret 5MP. Untuk versi 5G, ia dipasang kamera utama 50MP dan kamera potret 5MP. Kedua-dua kamera belakang boleh merakam video sehinga 4K 30fps manakala kamera hadapan 1080p 30fps.
Kapasiti bateri sedikit kecil di versi pro iaitu 8,600mAh tetapi ia memiliki pengecasan lebih pantas 67W. Masih tiada pengecasan wayarles.
Sistem bunyi juga lebih baik di versi Pro kerana ia dilengkapi 8 pembesar suara dalam 4 pasang treble dan mid. 2 pasang di kiri dan 2 pasang di kanan.
Pilihan warna untuk Mi Pad 5 Pro adalah terhad. Bagi versi Wifi, ia datang dalam warna putih sahaja dan versi 5G, hanya ada warna hitam.
Aksesori
Xiaomi turut mengumumkan beberapa aksesori untuk memberi pengelaman penggunaan yang lebih baik. Pertama adalah Xiaomi Inspiration Stylus.
Ia adalah pen stailus dengan 4,096 tahap tekanan dan ada 2 butang di sisi. Butang ini boleh ditetapkan untuk menjalankan pelbagai arahan seperti membuka aplikasi atau menangkap layar. Stailus ini boleh melekat secara magnetik di atas tablet dan ia turut mengecas apabila dilekat sebegini.
Seterusnya papan kekunci yang turut berfungsi sebagai pelindung tablet di hadapan dan belakang. Papan kekunci ini juga melekat secara magnetik, mirip iPad Pro.
Harga di China
Tempahan awal siri Mi Pad 5 telah dibuka di China dengan harga jualan seperti berikut:
- Mi Pad 5 (RAM 6GB + Storan 128GB) — CNY 1,999 (~RM1,307)
- Mi Pad 5 (RAM 6GB + Storan 256GB) — CNY 2,299 (~RM1,503)
- Mi Pad 5 Pro WiFi (RAM 6GB + Storan 128GB) — CNY 2,499 (~RM1,633)
- Mi Pad 5 Pro WiFi (RAM 6GB + Storan 256GB) — CNY 2,799 (~RM1,830)
- Mi Pad 5 Pro 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) — CNY 3,499 (~RM2,287)
- Keyboard folio — CNY 399 (~RM260)
- Xiaomi Inspiration Stylus — CNY 349 (~RM228)
Jualan di peringkat antarabangsa masih tidak diumumkan. Bagaimanapun, besar kemungkinan ia akan dilancarkan untuk pasaran antarabangsa dan dijual di Malaysia, memandangkan ia telah didaftarkan di SIRIM sebelum ini.