Bising dan berat, merupakan antara ciri pada sesebuah vakum yang tidak menyeronokkan. Ia membuatkan vakum tersebut tidak boleh digunakan untuk waktu tertentu. Contohnya, vakum yang berbunyi kuat tidak sesuai digunakan pada waktu malam. Vakum yang berat pula menyukarkan sesetengah individu seperti orang tua menyelesaikan kerja rumah.
Maka, wujudkah vakum dengan ciri seperti ringan, tidak bising, boleh beroperasi lama dengan satu kali pengecasan, serta mampu menyedut sampah dengan baik dari pelbagai permukaan?
Saya ada terima Realme TechLife Handheld Vacuum dan saya telah menggunakannya selama seminggu. Dikatakan bahawa vakum ini ringan, mampu bekerja dengan senyap, ada motor berkuasa dan boleh bekerja sehingga 40 minit secara berterusan. Oleh itu, saya sudah mencubanya untuk membersihkan pelbagai permukaan seperti lantai, karpet, sudut tingkap, siling rumah, dalam kereta serta kipas siling untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.
Rupa bentuk Realme TechLife Handheld
Realme TechLife Handheld Vacuum yang saya dapat adalah berwarna putih, berikut merupakan kandungan yang ada di dalam kotak sewaktu saya menerimanya.
- Badan utama Realme TechLife Handheld Vacuum
- Tiub
- 3 jenis kepala boleh ditukar ganti iaitu berus lantai bermotor (sesuai untuk membersih lantai), berus dua dalam satu (sesuai membersih kipas siling) dan kepala bermuncung tirus (membersih ruang sempit)
- Pengecas
- Pelekap dinding (Wall mount)
- Alat pembersih, untuk membersihkan sebarang sampah yang tersangkut di berus lantai bermotor
Perincian fizikal vakum
Untuk perincian fizikal pula, Realme TechLife Handheld Vacuum direka dengan bentuk mudah dipegang. Ia mempunyai satu bekas sampah yang boleh dibuka.
Pada badannya juga ada satu lubang pengecas berbentuk bulat kecil, anda boleh lihat dalam gambar, lubang pengecas ada dibahagian bawah. Bateri vakum ini berkapasiti 2200MaH. Ia kemudian mempunyai satu lubang untuk disambungkan tiub atau kepala vakum pada bahagian hujung.
Badan vakum juga ada satu butang kuasa yang boleh dilaraskan kepada dua mod membersih iaitu strong dan soft. Butang perlu ditolak sekali kehadapan untuk dapatkan mod soft dan tolak kedepan dua kali secara terus untuk dapatkan mod strong. Seterusnya, bahagian bawah butang kuasa ada 5 lampu yang menunjukkan hayat bateri.
Berat untuk vakum sahaja ialah 1.34kg. Jika digabungkan dengan semua komponen beratnya menjadi 2.4kg.
Untuk fizikal tiub, ia mempunyai satu butang di bahagian atas untuk sambungkannya kepada badan vakum. Kemudian ada satu butang di bahagian bawah untuk gabungkannya dengan kepala vakum. Di bawah ini merupakan gambar tiub vakum apabila digabungkan dengan 3 jenis kepala yang berbeza. Jika ingin bersihkan kawasan tinggi atau dalam, maka sesuailah gandingkan kepala vakum dengan tiub.
Saya gunakan tiub beserta berus lantai bermotor untuk membersihkan lantai rumah, tanpa mengira permukaan. Manakala berus dua dalam satu, saya sertakan dengan tiub untuk bersihkan kipas siling dan siling rumah, tetapi saya akan buka tiub apabila saya bersihkan sofa. Untuk kepala bermuncung tirus pula, saya tidak gandingkan dengan tiub, kerana saya hanya gunakan ia untuk membersih ruang yang sempit. Contohnya seperti tepi tingkap, celahan sofa dan ruang sempit di dalam kereta.
Bagi berus pula, pertama berus lantai bermotor, pada bahagian atas ada satu plastik yang membolehkan kita lihat keadaan berus dari luar. Seterusnya ada 3 lampu LED di bahagian hadapan, ia boleh membantu pengguna melihat sampah ketika membersih di kawasan gelap. Di dalamnya ada berus dengan material yang sangat lembut.
Untuk berus dua dalam satu pula, kepala berus ini boleh dilaraskan mengikut kemahuan. Boleh dipilih sama ada mahu kepalanya berus lembut atau plastik. Berus pada bahagian ini saya boleh ibaratkan materialnya seperti berus penyapu lantai, ia kasar tetapi tidak tajam.
Pengalaman menggunakan Realme TechLife Handheld Vacuum
Ketika mula-mula saya menerima vakum ini di dalam kotak, ianya memang ringan, tidak rasa seperti mengangkat sebuah vakum. Perkara pertama saya lakukan dengan vakum ini ialah membersihkan lantai rumah. Saya gabungkan badan utama vakum dengan berus lantai bermotor. Saya cuba vakum di permukaan berbeza seperti lantai yang licin, karpet dan tikar.
Bunyinya senyap hanya ketika guna mod soft. Untuk mod strong bunyinya agak kuat dan tidak sesuai digunakan pada waktu malam. Dikatakan bahawa kuasa sedutan vakum ini ialah 9.5KPa. Ketika saya membersihkan permukaan lantai yang licin, saya hanya perlu gunakan mod soft sahaja untuk selesaikan kerja.
Tetapi dua permukaan lagi, saya perlu gunakan mod strong untuk menyedut kekotoran seperti sisa makanan, rambut atau sampah kecil. Saya juga dapati, saya perlu vakum secara perlahan-lahan, jika lakukan dengan laju pasti ada sisa sampah yang tidak disedut.
Namun, perkara yang saya sangat suka tentang berus lantai bermotor ini ialah, pertama ia ada 3 lampu LED. Sangat membantu saya melihat sampah apabila sedang vakum dalam kawasan gelap seperti bawah sofa atau bawah katil.
Kedua, mungkin kerana bentuk vakum ini segi empat tepat dan berusnya terletak dibahagian tepi, ia mampu membersihkan sampah kecil di tepi dinding. Perkara ini adakalanya susah dilakukan menggunakan vakum manual lain.
Ketiga, berus ini ada tiub lembut berwarna kelabu pada bahagian atas, ia memudahkan saya membawanya pusing ke kanan atau kiri. Berusnya juga senang dibersihkan.
Seterusnya, saya cuba pula vakum menggunakan kepala dua dalam satu, untuk membersihkan siling rumah, kipas siling serta sofa rumah. Saya gunakannya juga untuk membersihkan kereta di bahagian sofa dan karpet. Untuk siling rumah, kipas siling dan sofa rumah, saya laraskan kepala vakum kepada berus lembut, supaya vakum dapat memberus habuk dari permukaan sebelum menyedutnya.
Bagi saya, sebenarnya agak berat juga untuk angkat badan vakum, tiub dan kepala vakum ke atas. Lebih-lebih lagi apabila membersihkan bahagian atas rumah dengan sebelah tangan. Untuk dapat hasil yang baik, saya gunakan mod strong ketika vakum siling rumah dan kipas siling.
Saya suka gunakan berus ini ketika membersihkan sofa rumah, sofa kereta dan karpet kereta. Walaupun saya vakum secara laju, ia tetap boleh menyedut habuk dengan sekali lalu sahaja. Jika permukaan tidak terlalu berhabuk, bolehlah gunakan mod soft. Cuma di karpet kereta saya gunakan mod strong supaya lebih mudah menyedut pasir-pasir kecil yang susah ditanggalkan. Di semua tempat ini saya laraskan kepala vakum kepada plastik, kerana tidak ada permukaan yang perlu diberus seperti kipas tadi.
Akhir sekali saya cuba gunakan kepala vakum bermuncung tirus untuk membersihkan ruang sempit. Di rumah, saya bersihkan tepi tingkap menggunakan kepala vakum ini. Ia boleh bekerja dengan baik walaupun dalam mod soft. Kemudian, saya cuba pula bersihkan ruang sempit di dalam kereta seperti di tepi pintu, tepi sofa, dan belakang sofa. Dengan sekali lalu sahaja, ruangan yang saya vakum tadi boleh bersih.
Setelah selesai membersih rumah, saya buang pula sampahnya. Memang senang buka bekas sampah ini, hanya perlu tolak butangnya sahaja kemudian penutup akan terbuka dan sampah boleh dibuang. Butang itu tak ketat, tetapi bagi saya ia selamat dari tiba-tiba terbuka. Tidak perlu asingkan bekas sampah dari vakum untuk buang sampah.
Namun, saya perlu cabut bekas sampah dari badan vakum apabila ingin cucinya dengan air. Ia senang dibasuh dan mudah juga dikeringkan. Saya perlu tekan butang warna kelabu pada badan vakum, untuk asingkannya.
Rumusan
Bagi saya, vakum ini tidak bekerja dengan baik apabila disambungkan dengan tiub. Walaupun saya tetapkan pada sedutan maksimum, saya masih perlu tekan kuat vakum pada permukaan supaya vakum dapat sedut kotoran. Apabila terlalu lama menggunakan mod strong, ia mengakibatkan bateri vakum cepat habis.
Tetapi, ia mampu menyedut sampah dengan baik apabila saya tidak gandingkan kepala vakum dengan tiub. Pembersihan juga dapat dilakukan dengan sekali lalu sahaja, Cuma, mustahil untuk saya vakum lantai tanpa tiub, kerana mungkin badan akan lenguh akibat bongkok terlalu lama, lebih baik saya gunakan penyapu atau vakum berwayar jenis lama.
Selain itu, vakum ini tidaklah ringan jika digabungkan dengan tiub, maka sukar untuk bersihkan bahagian atas rumah dalam tempoh yang lama. Sekiranya tanpa tiub, ia masih boleh diangkat menggunakan sebelah tangan sahaja. Bunyinya tidak kuat jika ditetapkan dalam mod soft, tetapi agak bising apabila ditukarkan kepada mod strong. Maka, jika mahu membersihkan rumah pada waktu malam atau ketika anak anda tido, lebih baik gunakan mod soft sahaja.
Dibandingkan dengan vakum Tefal air force 360 light, ia boleh bekerja dengan baik walaupun digandingkan dengan tiub. Malah, hanya perlu gunakan tenaga minimum ketika bersihkan permukaan lantai. Ia juga ringan jika digandingkan dengan tiub. Cuma, harganya agak mahal iaitu RM999 dibandingkan dengan Realme TechLife Handheld Vacuum ini, tetapi bunyinya ketika bekerja lebih kurang sama.
Untuk pilihan vakum dengan harga yang hampir sama, Mi Vacuum Cleaner Light disediakan dengan harga RM429 sahaja. Baterinya mampu bertahan sehingga 45 minit, dibandingkan Vakum mudah pegang Realme hanya 40 minit sahaja. Badannya juga lebih ringan, 1.2kg sahaja, dibandingkan dengan vakum yang saya reviu ini beratnya 1.34kg. Mungkin Mi Vacuum Cleaner Light lebih membantu individu membersihkan bahagian atas rumah.
Jika anda berminat untuk dapatkan Realme TechLife Handheld Vacuum, anda boleh lakukan pembelian melalui stor rasmi Realme di Lazada pada harga RM399 sahaja. Harganya sangat mampu milik.