AirAsia akan mula menggunakan sistem FACES (Fast Airport Clearance Experience System), sistem pengecaman wajah sebagai alternatif kepada pas masuk pesawat. Ringkasnya, hanya gunakan wajah anda untuk masuk ke pesawat, tidak perlu lagi keluarkan kertas atau tunjuk pas masuk pesawat digital di telefon pintar.
FACES dijadualkan mula digunakan di lapangan terbang KLIA2 pada 1 November 2021 pada penerbangan terpilih dan akan diluaskan kepada lebih banyak lapangan terbang di rantau ini pada tahun hadapan.
AirAsia sebenarnya telah menggunakan pengecaman wajah pada tahun 2018, di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. Sistem ini memerlukan pengguna mendaftar wajah mereka di kiosk dan AirAsia perlu memasang sistem pengecaman wajah di pintu perlepasan secara kekal, tidak boleh dialihkan.
Pada sistem FACES yang baru ini, AirAsia kini menggunakan sistem mudah alih yang dikuasakan bateri dan boleh digunakan di mana-mana di lapangan terbang. Selain itu, pengguna tidak lagi perlu mendaftar wajah di kiosk, cukup hanya mengaktifkan FACES di telefon pintar mereka menerusi aplikasi Air Asia Super App.
Cara pengaktifannya mudah. Buka aplikasi Air Asia Super App dan pergi ke Account > FACES. Ambil gambar swafoto wajah sendiri serta dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan atau pasport. Selepas itu, satu kali pengesahan dokumen perlu dilakukan di kaunter. Ia hanya perlu dibuat lagi jika terdapat perubahan dokumen perjalanan.
Untuk awal ini, FACES akan digunakan di pintu perlepasan. AirAsia merancang untuk meluaskan lagi penggunaan FACES, antaranya di pemeriksaan keselamatan dan daftar masuk bagasi. FACES juga boleh digunakan oleh penumpang berusia 12 tahun dan ke atas.
Kami telah diberi peluang oleh AirAsia untuk menguji sistem FACES sebelum ia mula beroperasi. Dari demo yang ditunjukkan, setiap pengguna mengambil masa sekitar 3-5 saat untuk pengecaman wajah dan pelitup muka perlu dibuka.
Jika wajah tidak dapat disahkan, terdapat pilihan untuk mengimbas pas masuk pesawat digital di bawah skrin. Walaupun ia tidak menjadikan proses daftar masuk jauh lebih cepat, ia telah mengurangkan sentuhan antara kakitangan dan penumpang, membantu mengurangkan penyebaran COVID-19.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan AirAsia, Javed Malik memberitahu kami bahawa mereka telah menguji FACES sekitar 3 tahun sebagai program biometrik perjalanan. Dengan FACES, penumpang tidak perlu lagi mengeluarkan kertas atau dokumen berkaitan perjalanan. Hanya gunakan wajah untuk semuanya. AirAsia turut merancang untuk menggunakan FACES bagi daftar masuk, menempah tiket, naik ke pesawat serta membeli barangan di masa hadapan menggunakan wajah.
Apabila bertanyakan tentang risiko membuka pelitup muka semasa mengimbas wajah, beliau menerangkan bahawa penumpang masih perlu membuka pelitup muka seketika untuk bernafas atau makan. Tetapi penumpang dan semua orang perlu beradab dan prihatin terhadap persekitaran, untuk melindungi mereka dan kakitangan.
AirAsia menasihatkan semua penumpang untuk memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas terbang. Javed juga menambah, kakitangan AirAsia akan sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa berurusan dengan penumpang, kerana mereka percaya bahawa ia adalah cara yang betul di samping mematuhi SOP setiap kerajaan.
Dari segi keselamatan data peribadi, Javed menjelaskan bahawa rakan pembangun mereka telah bekerjasama dengan peneraju dunia dalam bidang bimoetrik kawalan sempadan. Malah, ia juga salah satu syarikat yang membangunkan keselamatan data di dalam perisian mereka. Rakan mereka, Vision-Box telah mematuhi piawaian antarabangsa dan ini turut menjadikan AirAsia patuh kepada semua piawaian data di Eropah, Amerika, Australia dan Asia.
Untuk menyaksikan bagaimana FACES oleh AirAsia berfungsi, boleh tonton video kami di bawah ini. Maklumat lanjut tentangnya boleh diperolehi di laman web AirAsia.
Malaysia masih mengenakan sekatan pergerakan dan membenarkan hanya individu yang telah lengkap vaksin sahaja untuk merentas negeri. Perkara ini turut dipatuhi AirAsia di mana mereka memerlukan penumpang memuat naik maklumat vaksin semasa daftar masuk di aplikasi. Syarat perjalanan tambahan diperlukan untuk penumpang ke Sabah dan Sarawak.
Aplikasi AirAsia Super App bleh dimuat turun di Apple AppStore, Google PlayStore, dan Huawei AppGallery.