Sudah lama tidak kedengaran Motorola melancarkan telefon pintar di Malaysia. Hari ini, mereka mengumumkan ketibaan dua telefon pintar untuk segmen yang berbeza, Motorola E40 untuk kelas permulaan dan Motorola Edge 20 Pro, peranti kelas flagship dengan kuasa Snapdragon 870.
Buat masa ini, hanya Motorola E40 boleh didapati di Malaysia. Bagi Motorola Edge 20 Pro, ia akan tiba kemudian pada tarikh yang belum diumumkan. Harga jualan untuk Motorola E40 hanya RM599. Tetapi bagi Motorola Edge 20 Pro, ia masih belum dimuktamadkan, tetapi dijangka sekitar RM2,499.
Bagi meraikan ketibaan produk baru ini, pembelian Motorola E40 dari 8 November sehingga 31 Disember 2021, akan menerima diskaun RM50. Promosi ini terdapat di Stor Eksklusif Lenovo, serta di Stor Lenovo Lazada dan Stor Lenovo Shopee.
Motorola E40
Telefon bajet ini dikuasakan oleh cip Unisoc (dahulunya Spreadtrum) Tiger T700. Ia adalah cip 8-teras 12nm, gabungan teras ARM Core A75 dan Core A55. Ia digandingkan bersama RAM 4GB dan storan 64GB, serta menerima kad mikroSD sehingga 1TB untuk meluaskan storan.
Skrinnya seluas 6.5-inci IPS LCD, dengan resolusi HD 720p tetapi ada kadar penyegaran 90Hz. Pengimbas capjari terdapat di belakang telefon.
Sistem tiga kamera digunakan di belakang, menggabungkan kamera utama 48MP, kamera potret 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula 8MP, terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Motorola E40 memiliki bateri 5,000mAh dan kuasa mengecas 10W melalui USB-C. Speaker hanya mono, tetapi ada jek audio 3.5mm untuk menyambung fon kepala berwayar.
Motorola Edge 20 Pro
Secara ringkas, Motorola Edge 20 Pro meletakkan dirinya sebagai peranti flagship bajet, bersaing dengan model seperti Xiaomi 11T Pro dan Realme GT Neo 2. Itupun jika benar harganya tidak melebihi RM2,499.
Kuasa hebatnya dihasilkan oleh cip Snapdragon 870, bersama RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1. Untuk rujukan, ia dijual di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan RAM 12GB dan storan 256GB pada harga AED1,999 (~RM2,281).
Skrinnya tak kurang hebat kerana memiliki kadar penyegaran 144Hz, sesuatu yang selalunya ada pada telefon pintar gaming. Skrin sebesar 6.7-inci ini adalah jenis OLED HD Penuh, menawarkan warna 10-bit, DCI-P3 dan HDR10+.
Di bahagian kamera pula, ia menggunakan gabungan tiga kamera belakang iaitu kamera utama 108MP F1.9, kamera ultra lebar 16MP F2.2 dan kamera telefoto periskop 8MP dengan 5x zum dan OIS. Kamera hadapan pula 32MP F2.25, terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Bateri sebesar 4,500mAh dimuatkan di dalam Motorola Edge 20 Pro dan ia menyokong pengecasan pantas 30W melalui port USB-C. Tetapi kekurangan ketara ialah ia ada speaker mono sahaja dan tiada jek audio 3.5mm. Selain itu, ia juga tidak kalis air dan tiada pengecasan wayarles. Malah, pengimbas capjari terletak di sisi, bergabung dengan butang kuasa.
Motorola menyatakan bahawa mereka menggunakan antaramuka Android 11 yang hampir asli, dengan sedikit sahaja perubahan serta tiada aplikasi dengan fungsi berganda.