Digital Nasional Berhad (DNB) selaku penyedia 5G tunggal di Malaysia, sebelum ini menyenaraikan peranti Samsung Galaxy dan Apple iPhone sebagai tidak serasi dan akan datang. Kini kelihatan telefon pintar Samsung Galaxy S21, boleh mula menggunakan rangkaian 5G tersebut.
Bagaimanapun, kemaskini perisian diperlukan di mana siri Galaxy S21 perlu memuat turun kemaskini One UI 4.1 sebelum dapat menggunakan rangkaian 5G di Malaysia. Buat masa ini, hanya Yes menyediakan perkhidmatan 5G di Malaysia, menggunakan rangkaian 5G DNB.
Jika anda pengguna Galaxy S21, S21+ atau S21 Ultra, anda sepatutnya telah menerima notis kemaskini perisian One UI 4.1. Jika tidak, anda boleh memuat turun secara manual dengan pergi ke Settings > Software Update. Saiz muat turun sekitar 1.5GB dan hadir bersama kemaskini keselamatan 1 Mac 2022. Ia juga datang bersama kemaskini Game Optimising Service (G.O.S) yang menyekat prestasi aplikasi sebelum ini.
Selepas memasang kemaskini One UI 4.1, anda pasti boleh bersambung ke rangkaian Yes 5G jika memiliki SIM Yes 5G dan berada di dalam kawasan liputan 5G DNB. Tetapi, pastikan dahulu anda telah mengaktifkan rangkaian 5G dengan pergi ke tetapan dan pilih Connections > Mobile networks > Network mode SIM > 5G/LTE/3G/2G (auto connect).
Kelajuan hampir 1.5Gbps di Galaxy S21 Ultra dengan Yes 5G
Rakan kami telah menguji rangkaian Yes 5G di telefon pintar Galaxy S21 Ultra di Lot 10, Bukit Bintang dan melihat kelajuan muat turun melebihi 1.4Gbps, muat naik 113Mbps dan ping hanya 13ms. Tetapi rangkaian 5G ini masih tidak menentu, perlu mematikan dan menghidupkan semula rangkaian mudah alih untuk bersambung ke talian 5G.
Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah ikon 5G yang berbeza di peranti Samsung. Adanya logo 5G tidak bermakna ia memberikan kelajuan 5G. Apabila rakan kami menguji di tingkat bawah Lot 10, kelajuan yang diterima adalah muat turun 54Mbps, muat naik 24Mbps dan ping 18ms. Tetapi selepas itu, ikon 5G berubah kepada latar putih sepenuhnya dan prestasi kelajuan meningkat. Seperti yang dimaklumkan tadi, ikon 5G ini berubah-ubah dan talian perlu dimatikan dan dihidupkan semula untuk mendapatkan sambungan 5G yang pantas.
Menurut panduan rasmi Galaxy S21 Ultra, ikon 5G putih sepenuhnya bermakna ia bersambung ke rangkaian 5G. Tetapi jika ikon 5G dengan latar hitam dan garis putih, itu menunjukkan rangkaian LTE bersambung ke rangkaian LTE yang terdapat juga rangkaian 5G. Maksudnya, rangkaian itu ada 4G dan 5G, tetapi peranti hanya menggunakan rangkaian 4G. Ini mungkin merujuk kepada pengunaan 5G Non Stand Alone (NSA), di mana rangkaian 5G dipasang di atas rangkaian 4G, bukannya rangkaian 5G sepenuhnya.
Buat masa ini, hanya Yes menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna dan mereka turut menawarkan kad SIM 5G percuma untuk digunakan tanpa had selama 30 hari. DNB juga telah melanjutkan tempoh ujian 5G percuma, daripada 31 Mac kepada 30 Jun 2022 susulan pengumuman kerajaan untuk mengekalkan model tunggal 5G (SWN) di Malaysia.
Liputan rangkaian 5G sekarang hanya terdapat di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya. DNB sedang membuat ujian 5G di Johor Bahru dan menyatakan akan melancarkannya di sana tidak lama lagi. DNB juga telah menandakan beberapa kawasan di sekitar Selangor, Perak dan Pulau Pinang sebagai sedang dalam ujian.
[Sumber: SoyaCincau]
Bacaan Berkaitan
- DNB lancar 5G di Malaysia, Yes jadi penyedia 5G pertama
- Pelan Yes untuk 5G tanpa had terdedah, dari RM30/bulan
- Senarai penuh peranti 5G yang menyokong rangkaian 5G DNB, iPhone dijangka tahun hadapan
- DNB sedang bangun dan uji 5G di Johor
- Malaysia kekalkan konsep 5G tunggal, akan beri 70% pegangan DNB kepada syarikat telekomunikasi
- 5G percuma tanpa had dilanjutkan sehingga 30 Jun, DNB jemput telco bekerjasama