Carl Pei, pengasas syarikat Nothing hari ini tampil ke alam maya bagi mengumumkan produk baru yang akan mereka lancarkan tahun ini, telefon pintar Nothing Phone (1). Sama seperti produk pertama mereka Ear (1), telefon ini dilihat mengambil masa yang agak lama dari waktu pengumuman pertama sehingga pelancaran produk sebenar.
Dalam pengumuman ringkas ini, Carl Pei menerangkan bahawa mereka bukanlah syarikat audio semata-mata, sebaliknya Nothing ada visi yang luas mengenai produk teknologi yang akan mereka hasilkan. Carl Pei berterima kasih kepada semua pelabur dan pemberi dana, terutama sekali komuniti Nothing yang memberi kepercayaan terawal kepada syarikat.
Nothing akan menghasilkan sebuah ekosistem yang terbuka untuk pihak ketiga, tidak terhad kepada ekosistem tertutup seperti Apple. Ia akan dimulakan dengan sistem operasi Nothing OS, yang dibina berasaskan Android. Carl Pei nampaknya mahu membawakan DNA OnePlus ke dalam Nothing OS, kerana yakin ia akan menjadi Android yang terpantas.
Untuk memberikan orang ramai pengalaman menggunakan Nothing OS, pelancar (launcher) Nothing OS iaitu kulit antaramuka Android yang menyerupai Nothing OS akan boleh diuji orang ramai pada bulan April 2022. Ia akan menggunakan antaramuka yang mesra pengguna dengan konsep ekosistem terbuka.
Bagi telefon pintar Nothing Phone (1) pula, Carl Pei menyatakan ia akan dilancarkan pada suku ketiga 2022. Belum ada tarikh setepatnya tetapi pasti ia akan diberi petunjuk sedikit demi sedikit menjelang hari pelancaran.
Untuk perkakas yang menggerakkannya, Carl Pei hanya meyatakan ia akan dihasilkan dengan kerjasama Qualcomm dan menggunakan platform Snapdragon. Rekaan badannya pula hanya disebut, sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini, sambil berkongsi sejenis simbol. Menurut Carl Pei, ia pasti akan mengujakan semua.
Carl Pei juga menyebut, Nothing Phone (1) dijanjikan akan menerima kemaskini OS selama 3 tahun dan kemaskini keselamatan 4 tahun.
Phone (1) akan menjadi langkah pertama kepada ekosistem yang diidamkan Nothing, sama seperti iPhone yang menjadi batu loncatan buat Apple, terang Carl Pei lagi. Pada akhir pembentangannya, Carl Pei mengumumkan bahawa mereka akan membuka sekali lagi program pelaburan mereka, Nothing Community 2.0.
Tahun lepas, pusingan pertama program pelaburan Nothing berjaya mencapai sasaran dalam masa 54 saat sahaja, mengumpulkan USD1.5 juta. Bagi pusingan kedua ini, Nothing akan membuka sebanyak USD10 juta unit pelaburan, bagi memberi lebih ramai menyertainya.
Pelabur yang berjaya menyertai Nothing Community 2.0 akan menerima faedah dalam bentuk penyertaan dalam forum perbincangan tertutup Nothing, iaitu ruang untuk berbincang dan mendapatkan ganjaran eksklusif. Lebih banyak ganjaran akan diumumkan di masa hadapan.
Apakah yang akan dapat kita lihat lagi tentang ekosistem Nothing? Adakah ia terhad kepada pembangunan teknologi IoT atau sesuatu yang tidak kita jangkakan? Harapnya Nothing tidak mengambil masa yang lama untuk merealisasikan impian mereka.
Untuk maklumat lanjut dan menjadi yang terawal mengetahui tentang berita terkini Nothing, layari laman web Nothing.tech dan sertai pendaftaran minat mereka sekarang. Anda boleh menonton semula pengumuman Carl Pei tentang Phone (1) menerusi video di bawah.