AirAsia baru sahaja melancarkan pas SUPER+. Ia boleh didapatkan pada harga RM639 setahun bersamaan RM1.75 sehari. Melaluinya anda akan terima pakej penerbangan tanpa had, penghantaran tanpa had untuk pembelian makanan di AirAsia Food, serta insuran COVID-19.
Ia hanya terbuka kepada 200,000 pembeli pertama. Tempoh jualan pas ini dibuka dari 28 Mac sehingga 2 April 2022. Pengguna AirAsia Super+ boleh menebus penerbangan domestik dan ASEAN secara percuma tanpa had di AirAsia dengan kod penerbangan AK, FD, Z2, dan QZ. Tempoh perjalanan adalah dari 11 April 2022 hingga 10 April 2023.
Cara beli tiket murah tanpa had
Sama seperti pas sebelumnya, kos percuma tanpa had hanyalah untuk tambang asas sahaja. Anda masih perlu membayar kos cukai. Setelah dapatkan pas ini, anda sudah boleh mula membeli tiket penerbangan. Caranya ialah:
- Tekan tab Super+ pada halaman utama di bahagian kiri, atas.
- Pada bahagian Flight, tekan Go
- Anda akan di bawa ke halaman kod penebusan penerbangan, tekan Redeem dibawah.
- Anda kemudian boleh pilih destinasi, tarikh berlepas dan tarikh pulang. Kod yang anda tebus tadi akan tersedia secara automatik di halaman ini. Boleh juga pilih untuk tebus mata BIG jika mahu.
- Seterusnya, pilih waktu pelepasan. Pada halaman ini, dapat dilihat ada tertera perkataan 100% OFF pada setiap waktu pelepasan. Maka, harga yang tertera adalah antaranya untuk caj perkhidmatan dan surcaj bahan api. Tapi anda perlu tahu, hanya penerbangan terpilih sahaja yang akan ditanda dengan 100% OFF. Ada banyak tarikh ‘hitam’ di mana pelan ini tidak boleh digunakan.
- Selepas pilih penerbangan, anda boleh pilih jika mahu menambah perkara lain seperti hotel, baggage dan makanan.
- Seterusnya, anda dikehendaki untuk membaca keperluan perjalanan COVID-19. Dinyatakan bahawa anda perlu menyediakan sijil vaksinasi atau keputusan ujian COVID-19 atau apa-apa keperluan perjalanan lain. Pastikan anda tidak mengalami simptom COVID-19 dan jangan lakukan penerbangan jika anda merupakan kontak rapat dengan seseorang yang disahkan mempunyai COVID-19.
- Sebelum lakukan bayaran, anda boleh lihat perincian perkara yang perlu anda bayar di halaman Contact details. Seperti tempahan penerbangan saya ini, antara caj yang dikenakan ialah caj perkhidmatan, surcaj bahan api, levi pelepasan Malaysia dan cukai lapangan terbang. Maka total cukai untuk pergi dan pulang dari Bangkok adalah RM215.60.
Cukai untuk penerbangan pergi dan pulang adalah berbeza untuk setiap lokasi. Jika anda ingin berkunjung ke Bali, Manila atau Siem Reap, berikut merupakan jumlah cukai untuk penerbangan pergi dan balik yang perlu anda bayar.
Untuk penerbangan domestik, cukainya tentulah lebih murah. Untuk penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke destinasi domestik seperti Langkawi, Kota Kinabalu dan Johor Bahru, cukai yang perlu dibayar hanyalah RM45.20.
Pemegang pas hanya dibenarkan membuat maksimum dua perjalanan penerbangan pada hari yang sama. Anda juga dibenarkan sehingga tiga kali tidak hadir untuk penerbangan. Selain itu, jika penerbangan anda yang dijadualkan itu dibatalkan, ditangguhkan atau dijadualkan semula, AirAsia boleh jadualkan anda ke penerbangan lain yang terawal bergantung kepada ketersediaan ruang, tanpa dikenakan caj tambahan.
Anda juga dibenarkan untuk menukar penerbangan melalui My Bookings. Walau bagaimanapun, sebarang pertukaran akan tertakluk pada ketersediaan penerbangan dan caj perbezaan tambang mungkin dikenakan. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang penerbangan melalui terma dan syarat di sini.
Selain itu, AirAsia juga ada menyediakan penjejak ketersediaan penerbangan di halaman Facebook mereka baru-baru ini. Dapat dilihat ada banyak destinasi yang tersedia untuk dikunjungi oleh pemegang pas ini sehingga bulan September.
Insuran COVID-19
Untuk insuran ini, anda akan dilindungi sekiranya berlaku pembatalan penerbangan yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh mana-mana peristiwa berikut:
- Pengguna SUPER+ didiagnos COVID-19 dalam masa 7 hari sebelum perjalanan
- Pelanggan SUPER+ alami hilang keupayaan yang mengakibatkan kematian, hilang keupayaan kekal secara menyeluruh atau pengguna, ahli keluarga atau rakan perjalanan pemegang pas dimasukkan ke hospital dalam tempoh 14 hari sebelum perjalanan.
- Berlakunya kebakaran atau bencana alam yang mengakibatkan kerosakan serius pada rumah pemegang pas atau destinasi perjalanan yang dirancang
- Berlaku peristiwa yang boleh membahayakan nyawa pemegang pas
- Bencana alam yang tidak terhad kepada letusan gunung berapi, banjir, gempa bumi, tsunami, taufan atau kebakaran hutan yang berlaku di negara destinasi.
Pengguna hanya boleh tuntut pampasan untuk sebarang pembatalan penerbangan, sekali sahaja dalam tempoh lima belas hari bagi sebarang situasi yang dinyatakan di atas. Contohnya, jika anda telah menempah beberapa tiket penerbangan dalam tempoh lima belas hari dan disahkan positif COVID-19 tujuh hari sebelum penerbangan berlepas, maka anda berhak menuntut pampasan sekali sahaja. Untuk membuat tuntutan, anda perlu hubungi mereka melalui e-mel [email protected].
Namun anda perlu tahu bahawa ini bukanlah insuran yang ditetapkan kerajaan sebagai perlindungan jika anda terkena jangkitan COVID-19 di negara lain. Sebaliknya, ini hanyalah insuran sebelum anda lakukan penerbangan. Banyak negara yang mewajibkan pelancong mempunyai insuran COVID-19 sebelum mendarat dan anda perlu dapatkannya secara berasingan.
Penghantaran makanan percuma tanpa had
Pengguna pas Super+ boleh menikmati penghantaran percuma untuk AirAsia Food dengan perbelanjaan minimum RM15. AirAsia Food kini tersedia di Lembah Klang, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu, Kuching, dan Miri. AirAsia Food juga terdapat di Indonesia dan Thailand, jadi anda boleh nikmati penghantaran percuma dengan pembelian minima.
Untuk lakukan pesanan, anda hanya perlu tekan pada tab Food di aplikasi AirAsia. Kemudian, anda boleh lihat pelbagai restoran tersedia di situ. Akan tertera perkataan FREEDELMY berwarna hijau di bawah restoran, ia membawa maksud penghantaran percuma. Anda hanya perlu pilih makanan yang anda mahu, kemudian masukkannya ke dalam troli. Seterusnya, pada halaman checkout anda boleh lihat jumlah bayaran makanan dan kos penghantaran adalah percuma.
Dengan membeli pas ini, anda boleh dapat banyak penjimatan dibandingkan dengan pas ASEAN Unlimited yang dilancarkan pada tahun lepas. Melalui Super+, anda boleh nikmati penghantaran makanan percuma, perlindungan COVID-19 dan juga boleh menukar tarikh penerbangan.
Jika anda sudah membeli pas ASEAN Unlimited pada tahun lalu, jangan bimbang tentang tempoh tamatnya kerana anda kini menerima lanjutan 3 bulan lagi untuk membuat tempahan penerbangan. Tempahan penerbangan untuk pemegang pas tersebut dilanjutkan dari 12 Mac 2022 ke 12 Jun 2022. Dalam tempoh ini, anda boleh menempah penerbangan sehingga 26 Jun 2022.