Dalam tempoh Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti, pasti ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang sudah rancang untuk pulang ke kampung atau keluar bercuti. Jika anda adalah antara mereka yang akan berjalan jauh dalam tempoh tersebut, pastikan perjalanan anda sentiasa selamat dan selesa, lebih-lebih lagi apabila anda memandu kereta sambil membawa ramai ahli keluarga.
Untuk memastikan kereta anda berada dalam keadaan optimum, di bawah ini merupakan senarai semak perkara asas yang perlu anda lakukan sebelum memulakan perjalanan jauh.
1. Tayar
Pertama sekali, anda perlu periksa tekanan angin pada semua tayar di kereta anda, termasuklah tayar ganti. Anda boleh semak tekanan udara yang diperlukan berdasarkan panduan yang diberi dalam manual kereta atau pada panel sisi pintu tempat duduk pemandu. Pastikan anda tidak isi terlalu banyak angin di dalam tayar kerana ia tidak akan mempunyai cengkaman penuh. Jadi apabila hujan, ia boleh menyebabkan kereta anda mudah tergelincir.
Namun, jika tekanan tayar rendah, ia membolehkan tayar mencengkam jalan dengan baik tapi akan menyebabkan lebih tekanan pada enjin, sekaligus merosakkan tayar akibat beban pada rim dan tayar. Masa terbaik untuk mengisi angin pada tayar adalah semasa cuaca sejuk kerana udara yang panas akan menyebabkan tayar menjadi kembang.
2. Minyak enjin
Penting untuk anda periksa paras minyak di dalam kereta. Apabila membuka bonet hadapan, anda akan nampak satu cincin berhampiran petak enjin. Ini dipanggil dipstick, tarik ia keluar dan anda akan lihat batang besi panjang dipasang padanya. Bersihkan batang besi tersebut dengan kain. Kemudian celupkannya semula dan tarik untuk lihat minyak.
Paras minyak hendaklah berada di antara penanda minimum dan maksimum. Jika ia dibawah tahap minimum, isi semula minyak yang anda dapat daripada pusat servis kereta anda sebelum ini. Jika anda tidak pasti apa yang perlu dilakukan, hantarkannya sahaja kepada mekanik terdekat.
3. Air bateri
Periksa paras air bateri kereta anda. Tapi, sekiranya anda menggunakan bateri sel kering yang tidak memerlukan penyelenggaraan, maka anda tidak perlu lakukan pemeriksaan. Untuk pengguna bateri jenis sel basah, anda perlu buka penutup kecil pada bateri dan pastikan terdapat air bateri yang mencukupi dalam setiap petak sel. Jika air di bawah paras minimum, anda boleh beli air bateri daripada stesen minyak atau kedai kereta untuk mengisi semula petak sel tersebut.
4. Lampu
Ini merupakan perkara paling mudah dan penting untuk anda periksa. Anda tentunya memerlukan lampu yang berfungsi dengan baik untuk melihat di jalan yang gelap jika anda lalui perjalanan pada waktu pagi atau lewat malam. Memastikan lampu brake (lampu belakang) berfungsi juga merupakan perkara yang penting. Jika lampu brake rosak, kereta di belakang susah untuk mengetahui jika anda sedang perlahankan kenderaan. Ia jadi lebih bahaya apabila anda dan kereta lain sedang memandu pada kelajuan yang tinggi.
5. Pengelap (wipers) dan paras air
Periksa wipers anda untuk memastikan ia tidak berminyak dan boleh mengelap air tanpa meninggalkan kesan. Jika ia kotor, ambil kain basah dan bersihkannya. Ini akan memberikan anda visual yang lebih baik ketika memandu sekiranya hujan. Tapi, jika ia masih tinggalkan kesan pada cermin walaupun ada sudah bersihkan, itu bermaksud anda perlukan wipers yang baru. Seterusnya, periksa pula paras air untuk wipers. Pastikan terdapat air yang cukup untuknya.
6. Isi radiator
Akhir sekali, pastikan terdapat penyejuk atau air yang mencukupi di dalam radiator. Ini penting supaya kereta tidak terlalu panas, terutamanya apabila kereta anda tidak bergerak dalam kesesakan lalu lintas. Pastikan anda hanya membuka bahagian ini semasa enjin sejuk atau sebelum anda menghidupkan kereta pada waktu pagi.
Jika anda tidak tahu cara untuk lakukan mana-mana perkara yang dinyatakan di atas, pastikan anda hantar kereta anda kepada mekanik untuk mereka periksa dan lakukan tindakan lanjut. Semua ini perlu dilakukan supaya anda dan keluarga dapat tiba ke destinasi dengan selamat.
[Sumber: RinggitPlus]