Asus hari ini telah selamat melancarkan telefon gaming baru mereka, ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro. Ia mengekalkan semua perkara terbaik di ROG Phone 5 dan ditambah baik dengan beberapa peningkatan untuk kekal sebagai peranti gaming terhebat di dunia.
Selain naik taraf di telefon pintar, Asus turut membariskan aksesori yang mirip dengan yang lama tetapi ditambah baik untuk menjadikan ROG Phone 6 telefon gaming terunggul.
Kali ini, Asus tidak mengenakan perbezaan yang jauh antara versi Pro dan bukan Pro. Apa yang berlainan adalah saiz RAM, storan dan juga skrin kedua di belakang telefon.
Prestasi terhebat
Sebagai telefon gaming, prestasi adalah perkara paling utama dan untuk itu, Asus melengkapkan siri ROG Phone 6 dengan cip terbaik, Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1. Ia digandingkan bersama RAM LPDDR5 sehingga 18GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 512GB.
Kuasa tinggi sebegini pasti menghasilkan haba yang juga tinggi. Asus mempertingkat pengaliran keluar haba melalui gabungan beberapa penyelesaian. Antaranya menggunakan kebuk wap yang 30% lebih besar, lapisan graphite 85% lebih luas, serta boron nitrite sebagai kompaun pengalir haba yang cekap membuang kepanasan. Di samping itu, SoC Snapdragon 8+ Gen 1 diletakkan di tengah-tengah telefon, lokasi terbaik untuk menyingkirkan haba.
Kipas terdingin beku
Tetapi penyelesaian penyejukan terbaik yang disediakan Asus adalah AeroActive Cooler 6 serba baharu. Ia kini bukan sahaja kipas penyejuk, tetapi dibina bersama elemen peltier yang boleh menghasilkan suhu beku seperti peti sejuk.
AeroActive Cooler 6 juga boleh digunakan tanpa sambungan tenaga kerana ada bateri di dalamnya. Tetapi mod wayarles hanya boleh menghidupkan kipas penyejuk. Manakala tenaga daripada telefon atau luar akan mengaktifkan cip pembeku peltier untuk mendinginkan telefon.
Di samping itu, Asus menempatkan 4 butang fizikal pada AeroActive Cooler 6, yang boleh diubahsuai tetapannya. Kedudukan strategik butang yang mudah dicapai jari di belakang telefon, pastinya meningkatkan lagi pengalaman bermain game di peranti mudah alih, ibarat bermain di konsol permainan seperti PS5.
Paparan terpantas
ROG Phone sering menjadi peneraju dalam paparan peranti gaming. Bagi generasi ke-6 ini, ia dilengkapi dengan skrin AMOLED E4 Samsung seluas 6.78-inci HD Penuh. Kadar penyegaran setinggi 165Hz dan ia boleh ditetapkan dari serendah 60Hz, hingga ke 90Hz, 120Hz, 144Hz dan 165Hz.
Skrin ini juga tahan lasak kerana menggunakan kaca Corning Gorilla Glass Victus di luar. Jika mahu lebih ketahanan, Asus turut menyediakan aksesori tambahan iaitu ROG Phone 6 Glass Screen Protector. Bagi keselamatan biometrik, pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Kawalan terbanyak
Populariti ROG Phone turut disumbang oleh butang bahu yang terdapat di sisi telefon. Masih dengan butang kapasitif ultrasonik, ia kini menyokong lebih banyak gerakan jari seperti menekan, melepas, meleret, menekan lama dan banyak lagi.
Asus juga menambah satu cara kawalan baru, dipanggil Gyroscope Aiming. Ia adalah kawalan berasaskan graviti di mana pengguna boleh bergerak di dalam permainan dengan menggerakkan telefon ke kiri kanan bawah atau atas.
Bunyi terlantang
Jika anda mahu sistem bunyi terhebat, ia mestilah speaker stereo dan menembak ke muka dan ini diberikan oleh ROG Phone 6. Menggunakan 5-magnet 12×16 Super Linear, ia diperhebatkan lagi dengan amplifier mono Cirrus Logic CS35L45 dan pemproses signal digital Dirac.
Mahu bunyi lebih hebat? ROG Phone 6 masih mengekalkan jek audio 3.5mm untuk pengguna yang tidak mahu sebarang lengah dan kualiti bunyi terjamin.
Bateri besar dan tahan lama
Bateri yang sangat besar, berkapasiti 6,000mAh dalam dwi-sel 3,000mAh digunakan di dalam ROG Phone 6. Ia menyokong pengecasan pantas 65W dan pengecas turut disertakan di dalam kotak. Malah ada dua port USB-C untuk mengecas, di bawah telefon dan di sisi. Port di sisi memudahkan penggunaan telefon semasa mengecas.
Risaukan bateri terkesan kerana mengecas dan bermain? ROG Phone 6 dilengkapi fungsi ‘bypass’ di mana tenaga dialirkan terus kepada peranti dan memintas bateri untuk mengelakkan ia panas semasa mengecas.
Kamera tidak dilupa
Asus tidak mengambil ringan aspek kamera untuk ROG Phone 6. Ia ada kamera utama 50MP menggunakan sensor Sony IMX766, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 2MP. Di hadapan pula, ia dipasang kamera 12MP dengan sensor Sony IMX633 dan terletak di dalam bingkai di atas skrin.
Skrin kedua di belakang
Perbezaan ketara antara ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 adalah di belakang telefon. Bagi ROG Phone 6, ia ada dot LED yang membentuk logo ROG berkelip-kelip RGB. Versi Pro pula ada paparan ROG Vision color PMOLED dan boleh memaparkan pelbagai perkara seperti notis, animasi dan lain-lain.
Aksesori pelengkap terunggul
Agak malang kali ini kerana Asus tidak lagi memberikan kipas AeroActive Cooler di dalam kotak. Mungkin kerana kosnya lebih tinggi kerana menggunakan teknologi penyejukan peltier. Tetapi ia adalah aksesori penting untuk pengguna ROG Phone 6. Selain menyejukkan peranti, ia juga memberi 4 butang fizikal tambahan.
Tidak dilupakan juga alat kawalan sisi Kunai 3 GamePad. Ia boleh digunakan secara jarak jauh, atau dicabut dan dipasang di sisi ROG Phone 6. Mengiktu citarasa pengalaman bermain yang diingini pemilik.
Kesediaan jualan
Asus menyatakan bahawa ROG Phone 6 dan aksesori akan mula berada di pasaran Malaysia mulai Ogos 2022. ROG Phone 6 Pro pula akan tersedia dijual pada bulan Ogos 2022.
ROG Phone 6 akan ditawarkan dalam dua pilihan warna, hitam dan putih. Manakala versi Pro hanya terdapat dalam warna putih sahaja.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro.