Thailand merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja dalam kalangangan rakyatnya. Perkara ini tidak lagi menjadi jenayah untuk mereka. Mereka boleh tanam dan memperdagangkan produk ganja atau menggunakannya untuk merawat penyakit. Malah, kafe dan restoran di sana juga boleh menyajikan makanan dan minuman yang disertakan kanabis.
Oleh kerana perkara ini bukan lagi satu kesalahan, maka ada penternak ayam di Lampang, Thailand menggunakan ganja sebagai pengganti antibiotik untuk ayam. Ia dikatakan dapat meningkatkan kualiti daging dan juga telurnya.
Perkara ini bermula apabila Ong-ard Panyachatiraksa, pemilik ladang di utara Thailand yang mempunyai lesen untuk menanam ganja bagi tujuan perubatan, tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan dengan sisa daun ganja yang tidak digunakan.
Bolehkah ternakan anak ayamnya dapat manfaat daripada tanaman itu? Perkara ini juga menjadi persoalan dalam kalangan ahli akademik di Universiti Chiang Mai. Sejak Januari lalu, mereka telah mengkaji 1,000 ekor ayam di ladang organik Pethlanna milik Ong-ard, untuk melihat bagaimana ayam bertindak balas apabila ganja dicampur ke dalam makanan atau air mereka.
Ayam makan ganja catatkan kes bronkitis burung yang rendah
Melalui kajian ini, mereka dapati bahawa ganja boleh bantu kurangkan pergantungan petani terhadap antibiotik untuk diberikan kepada ayam. Ayam di ladang tersebut diberi daun ganja dalam pelbagai kuantiti dan bentuk. Ada yang diberi air rebusan daun ganja dan ada juga yang diberi makanan bercampur dengan daun yang sudah dihancurkan.
Chompunut Lumsangkul, penolong profesor di jabatan sains haiwan dan akuatik Universiti Chiang Mai yang mengetuai kajian itu dapati bahawa tiada tingkah laku yang abnormal diperhatikan pada ayam. Dengan jumlah ganja yang mereka berikan pada ayam itu, ia tidak akan menjadikan ayam khayal. Malah, dia juga cuba mencari tahap yang sesuai untuk bantu meningkatkan imuniti ayam tanpa sebarang kesan buruk.
Walaupun hasil kajian masih belum diterbitkan, tapi Chompunut telah melihat tanda-tanda positif pada ayam. Ayam yang diberikan ganja didapati mencatatkan kes bronkitis burung yang rendah. Malah kualiti dagingnya didapati lebih baik.
Chompunut tidak dapat menjelaskan kesan positif ganja kepada ayam. Ada kemungkinan, sebatian bioaktif dalam ganja mungkin telah menambahbaik kesihatan usus ayam dan keimunan, seterusnya memberi kesan baik pada bahagian lain juga.
Menurut Chompunut, kajian lanjut diperlukan untuk melihat sama ada ganja boleh atau tidak menggantikan antibiotik dalam penternakan ayam. Dia merancang kajian kedua yang akan menggunakan ekstrak ganja dengan jumlah yang lebih tinggi untuk melihat kesannya terhadap penyakit dan kadar kematian ayam. Di samping itu, menurut penemuannya juga, tiada kesan bahan kimia ganja dalam daging ayam atau telur dari ayam itu.
Penternak ayam, Ong-ard berkata, harga ganja masih terlalu tinggi di Thailand, tapi pembaharuan undang-undang ini mungkin akan mengubahnya. Menurutnya, ayam yang diberikan ganja akan dijual dengan harga lebih tinggi di restoran ladang itu. Ayam biasanya dijual pada harga 60 baht (RM7.33) sekilogram, tapi harga ayam yang diberi ganja akan lebih mahal.
Nampaknya, ganja bukan sahaja berguna untuk perubatan manusia, malah ia juga boleh berikan kesan positif pada ayam. Jika perkara ini dibenarkan di Malaysia, tentu penternak ayam tidak perlu berdepan dengan isu jangkitan bronkitis burung, malah tidak perlu juga keluarakan wang untuk dapatkan antibiotik.
[Sumber: Vice, The Guardian]
[Sumber gambar: Wikipedia]