Selepas setahun menjalankan ujian rintis, hari ini Touch ‘n Go (TNG) Group dan Shell Malaysia melancarkan secara rasmi sistem pembayaran minyak menggunakan RFID. Dengannya, pengguna RFID boleh menikmati pengalaman bayaran tanpa tunai baharu ketika mengisi minyak di stesen minyak Shell terpilih.
Setakat hari ini, terdapat 88 stesen minyak Shell menyediakan perkhidmatan pembayaran menggunakan RFID. Ia tidak terhad di Lembah Klang sahaja, malah ada di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Pantai Timur dan Utara. Senarai penuh boleh disemak di laman Shell RFID.
Shell mensasarkan untuk memasang 200 stesen minyak mereka dengan sistem RFID menjelang akhir tahun 2022 dan terdapat di 50% stesen minyak Shell seluruh Malaysia dalam masa 3 tahun.
Pembayaran menggunakan RFID di stesen minyak akan kekal eksklusif di Shell sahaja. Shell juga menyatakan, mereka akan menyediakan dua tapak untuk pengisian RFID di setiap stesen terpilih dan akan menambahnya di masa hadapan jika terdapat permintaan tinggi.
Promosi pulangan tunai
Sempena pelancaran ini, Shell dan TNG memberi pulangan tunai sebanyak RM10 jika pengguna membayar minyak minimum RM50 menggunakan RFID. Ia diberikan kepada 25,000 pelanggan pertama dan transaksi pertama pengguna dengan RFID di Shell. Ia juga terhad kepada pengguna kali pertama, tidak untuk pengguna yang telah menggunakan ketika ujian rintis sebelum ini.
Konsep pembayaran ini hampir serupa dengan Setel di Petronas. Tetapi pembayaran RFID di Shell tidak memerlukan pengguna melancarkan aplikasi dan membuat bayaran di dalam aplikasi. Hanya letak kenderaan di pam yang berkenaan, tunggu pengesahan dan mula mengisi minyak. Jika baki di eWallet Touch n Go mencukupi.
Kelebihan Setel ialah, ia terdapat di hampir semua stesen minyak Petronas dan boleh digunakan di semua pam. Malah, Setel boleh digunakan membuat bayaran di dalam kedai Mesra serta di banyak perkhidmatan selain mengisi minyak. RFID di Shell memerlukan pam khusus, baru boleh digunakan. Jika ada kenderaan lain di pam, kena tunggu sehingga mereka selesai.
Cara mengaktifkan pembayaran RFID Shell di TNG eWallet
Sebelum anda boleh menggunakan RFID untuk membayar, ia perlulah diaktifkan dahulu di dalam aplikasi TNG eWallet. Di halaman utama, pergi ke ‘MORE’ dan pilih ‘Shell’ di bawah ‘Transportation’. Kemudian pilih ‘Activate Fuelling’.
Di dalam itu juga, anda boleh menetapkan jumlah untuk setiap pembayaran RFID dan menghubungkan ke kad Bonuslink untuk menerima mata ganjaran. Jika anda selalu mahu mengisi penuh tangki, anda boleh menetapkan jumlah lebih tinggi kerana baki akan dikembalikan ke dompet eWallet secara automatik.
Cara menggunakan pembayaran RFID di Shell
Untuk mengisi minyak menggunakan RFID, anda perlu pergi ke stesen minyak Shell yang memiliki fungsi ini. Anda akan dapat melihat dari luar, papan tanda yang menyatakan nombor pam minyak yang sedia menggunakan RFID.
Bawa kenderaan ke pam tersebut dan lihat pada papan tanpa digital, di bahagian atas atau pada pam minyak. Apabila statusnya bertukar kepada simbol pam hijau, maka anda boleh mula mengisi minyak.
Untuk memastikan pembayaran RFID berjalan lancar, anda perlu memiliki tag RFID yang berfungsi serta nombor pendaftaran (plat) kenderaan yang jelas kelihatan. Jika nombor plat ini rosak atau susah dibaca sistem, pembayaran RFID ini akan tersekat dan ditolak.
Anda boleh tonton cara menggunakan pembayaran RFID menerusi video rakan kami di SoyaCincau di bawah: