Poco C40, telefon kelas permulaan keluaran Poco kini telah disahkan sebagai telefon termurah mereka tahun ini. Poco Malaysia telah mengumumkan harga jualannya, serta tarikh jualan bersama promosi menarik untuk pembeli terawal.
Telefon ini dilihat dapat dijual dengan sangat murah kerana ia menggunakan cip keluaran syarikat yang tidak pernah didengari sebelum ini, JLQ Technology. Tetapi ia tidak mengorbankan spesifikasi lain untuk mengurangkan kos penghasilan.
Harga jualan, tarikh dan promosi Poco C40
Poco Malaysia telah menetapkan harga rasmi Poco C40 untuk pasaran di sini, seperti berikut:
- Poco C40 (RAM 3GB + Storan 32GB) – RM499
- Poco C40 (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM599
Jualan poco C40 pula akan bermula pada hari Khamis, 18 Ogos 2022 di stor rasmi Poco Global di Lazada dan Shopee.
Tetapi khas di Shopee sahaja, pembeli terawal Poco C40 boleh mendapat diskaun RM50. Promosi ini berjalan dari 18-24 Ogos 2022, selagi stok masih ada.
Spesifikasi Poco C40
Seperti yang telah diketahui sebelum ini, cip utama yang digunakan oleh Poco C40 bukan dihasilkan oleh Qualcomm, Mediatek ataupun Unisoc, sebaliknya dibuat oleh JLQ Technology iaitu SoC JR510. Ia ada 8-teras pemproses dengan pecahan 4-teras berkuasa 2.0Ghz dan 4-teras lagi cekap tenaga 1.5GHz. GPU pula ialah Mali-G52. Dikatakan, prestasinya setara Snapdragon 450 atu Mediatek Helio G35.
RAM disediakan sehingga 4GB dan storan pula sehingga 64GB. Kad mikroSD sehingga 1TB turut diterima untuk meluaskan storan.
Skrin LCD yang sangat besar dipasang di Poco C40, berukuran 6.71-inci tetapi resolusi HD 720p sahaja. Ia dilindungi kaca Corning Gorilla Glass, tetapi tidak dimaklumkan nombornya. Mungkin kaca Corning paling rendah.
Takuk di atas skrin memuatkan kamera hadapan 5MP F2.2. Di belakang pula, ia dilengkapi kamera utama 13MP F2.2 dan kamera potret 2MP F2.4 sahaja. Pengimbas capjari terletak di bawah modul kamera belakang.
Kapasiti bateri sebesar 6,000mAh adalah tarikan utama dalam pengumuman. Ia menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C, tetapi pengecas yang datang dalam kotak hanyalah berkuasa 10W. Perlu beli pengecas berasingan untuk menggunakan kuasa penuh 18W.
Pembesar suara hanya satu, mengeluarkan bunyi mono dari bawah telefon. Ia juga masih ada jek audio 3.5mm dan boleh mengguunakan radio FM jika disambung fon telinga berwayar.
Satu perkara yang tidak kelihatan di Poco C40 adalah pemancar infra merah. Poco menyatakan telefon ini kalis percikan air IP52. Ia juga menjalankan MIUI 13 for Poco, berasaskan Android 11. Tidak dimaklumkan berapa banyak kemaskini akan diberikan.
Terdapat tiga warna disediakan untuk Poco C40, antara kuning, hijau dan hitam. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Poco C40.