Honor 70 dan Xiaomi 12 Lite adalah dua telefon daripada dua jenama berbeza yang dilancarkan pada hari yang sama di Malaysia. Mereka menyertai kategori pertengahan membawakan spesikasi hampir serupa tapi kelebihan di bahagian-bahagian tertentu.
Apa beza antara Honor 70 dengan Xiaomi 12 Lite? Mana satu yang lebih layak duduk dalam poket anda?
Rekaan
Walaupun berada dalam kategori pertengahan yang sama. Rekaan Honor 70 dengan Xiaomi 12 Lite nyata berbeza antara satu sama lain. Honor 70 mengguna pakai rekaan dual-curved arcs bermakna di kedua-dua sisi telefon ini ada lengkungan di bahagian depan dan belakang. Pendekatan ini menampakkan bingkai nipis pada paparan depan.
Rekaan itu, terkenal satu ketika dulu tapi tidak lagi dalam tahun 2022. Xiaomi 12 Lite hadir dengan rekaan yang lebih mengikut arus perdana. Rekaan kuboid bersisi tajam mirip iPhone. Xiaomi menggelar rekaan ini klasik.
SoC, RAM dan Storan
Dimulakan dengan Xiaomi 12 Lite, telefon ini atas papan utamanya terpateri SoC Snapdragon 778G. Cip ini berada dalam kategori 6nm dan pengilangnya adalah TSMC menggunakan tatacara N6. Di atas cip itu terkandung 8 teras pengkomputeran yang diagihkan dalam tiga kluster.
Satu teras Kryo 670 (2.4Ghz) menduduki kluster berprestasi tinggi, tiga teras Kryo 670 (2.2Ghz) berada di kluster cekap tenaga manakala kluster akhir adalah yang jimat tenaga, yang dihuni 4 teras Ktyo 670.
Di Honor 70, walaupun atas kertas, kedengaran ia ada SoC lebih baharu berbanding Xiaomi, asasnya kedua-dua Snapdragon 778G dan 778G+ adalah produk yang sama. Ia berbeza Cuma pada teras berprestasi tinggi yang clockspeed telah dipertingkat sebanyak 100Mhz.
Makanya, daripada segi prestasi, jangkakan perbezaan yang tidak signifikan antara kedua-dua telefon ini.
Untuk pasaran Malaysia Honor membawa masuk satu varian RAM dan storan iaitu 8GB dan 256GB. Di belah Xiaomi pula, ada dua pilihan ditawarkan untuk pengguna iaitu kombinasi 8GB/128GB dan 8GB/256GB. Kedua-dua jenama menggunakan menggunakan RAM LPDDR4X dan sotran UFS 2.1 namun untuk pengguna Xiaomi, mereka ada pilihan untuk dapatkan varian lebih murah.
Kamera
Honor, mereka jarang tak gah tentang kamera. Menurut pengeluarnya, ini adalah telefon pertama yang dilengkapi sensor IMX800 54MP sebesar 1/1.54”. Kemudian, kamera ultralebar Honor 70 juga ada resolusi besar iaitu 50MP diikuti kamera bokeh 2MP. Beralih kepada Xiaomi, kamera utama Mi 12 Lite adalah kamera 108MP diikuti kamera ultralebar 8MP dan akhir sekali kamera makro 2MP.
Untuk kamerabelakang, Honor ada kelebihan pada segi kamera ultralebarnya yang beresolusi 50MP berbanding 8MP. Sudah tentu gambar ultralebar Honor lebih menarik. Perbezaan resolusi pada kamera utama saya rasakan lebih kecil berbanding perbezaan resolusi kamera ultralebar.
Menariknya, Xiaomi bermurah hati pula nak berikan kamera selfie 32MP pada 12 Lite kerana generasi terdahulu cuma 20MP sahaja. Ia kini standing dengan kamera Honor yang turut dikenakan sensor 32MP.
Bateri
Walaupun Xiaomi 12 Lite ada badan petak dan nampak lebih tebal. Jangan sangka ia ada bateri lebih besar dariapda Honor 70. Sebenarnya bateri telefon Xiaomi ini lebih kecil, cuma 4,300mAh sahaja. Sebagai perbandingan, Honor 70 dibekalkan tangki bateri 4,800mAh. Jadi, beza kapasiti bateri antara kedua-dua telefon ini adalah 500mAh.
Untuk mengecas, anda usah risau sebab mereka kedua-duanya menyokong pengecasan pantas. Xiaomi ada kelebihan dengan blok pengecas 67W sementara Honor pada 66W. Saya tak rasaan aka nada perbezaan ketara daripada sudut kelajuan mengecas antara kedua-dua telefon ini.
Lain-lain
Jika Xiaomi 12 Lite dan Honor 70 ada spesifikasi hampir sama, perbezaan-perbezaan kecil yang akan menjadi penentu kepada siapakah yang akan belinya. Dalam kategori ini saya rasakan Xiaomi ada kelebihan pada dua sudut. Yang pertama adalah telefon ini diperkasa speaker stereo yang nyata lebih baik daripada speaker mono Honor 70.
Kelebihan kedua adalah pada komponen IR Blaster yang memang senantiasa menjadi ikon pada telefon Xiaomi. Ciri ini sangat berguna bila anda nak kawal kelengkapan rumah yang menggunakan alat kawalan berasaskan inframerah.
Di Honor 70, saya tak jumpa sebarang kelebihan yang boleh saya tonjolkan.
Harga dan kesimpulan
Honor 70 masuki Malaysia pada harga RM1,999. Satu varian sahaja ditawarkan iaitu RAM 8GB dan storan 26GB. Di kem Xiaomi pula, kita ada dua opsyen iaitu RM1,699 (8GB+128GB) dan RM1,799 (8GB+256GB).
Pada spesifikasi setara, beza RM200 antara dua telefon ini agak besar. Malahan, telefon yang lebih murah nampak seperti ada kelebihan iaitu speaker stereo dan IR Blaster. Honor nyata lebih baik pada sudut kamera ultralebar 50PM berbanding kamera 8MP pada Xiaomi.
Sensor Samsung HM2 108MP Xiaomi, walaupun resolusi tinggi, ia agak berusia apabila ia mula digunakan pada telefon sejak tahun 2020 lagi. IMX800 pada Honor lebih segar walaupun resolusinya cuma 54MP.
Honor 70: Maklumat penjualannya di Malaysia
Xiaomi 12 Lite: Maklumat penjualannya di Malaysia
Ada dua saranan akan saya gariskan di sini. Sekiranya anda perlukan telefon kamera yang ok spesifikasinya, Honor adalah lebih baik. Tapi kalau anda cuma perlukan sebuah telefon, jimatlah RM200 dan pergi ke Xiaomi.