Apple hari ini telah melancarkan barisan telefon baru di dalam keluarga iPhone 14. Terdapat empat model telefon pintar yang diperkenal tetapi kini dalam rekaan yang berbeza kerana tiada lagi mini menjadi ahli. Ia digantikan dengan model lebih besar.
Dua ahli model bukan Pro kini dinamakan sebagai iPhone 14 dan iPhone 14 Plus. Seperti biasa, tiada perbezaan dari segi spesifikasi kecuali saiz skrin dan kapasiti bateri.
iPhone 14 mengekalkan saiz skrin 6.1-inci manakala iPhone 14 Plus memiliki skrin 6.7-inci, serupa dengan model Pro Max. Perubahan daripada model mini kepada plus dilihat akibat kurangnya permintaan peranti kecil dan bertambahnya minat orang ramai memiliki peranti besar.
Skrin ini jenis Super Retina XDR iaitu paparan OLED bertakuk besar di dahi, dengan kecerahan setinggi 800 nits dan kecerahan puncak 1,200nits. Kadar penyegaran masih kekal 60Hz. Kaca ‘Ceramic Shield’ yang sangat teguh, melapisi bahagian luar skrin.
Apple juga mengatakan bahawa iPhone 14 memiliki hayat bateri lebih baik daripada model sebelumnya. Kini dengan hayat bateri sehingga 20 jam bermain video (19 jam di iPhone 13). Manakala iPhone 14 Plus boleh bermain video sehingga 26 jam.
Kedua-duanya menyokong pengecasan berwayar 20W, masih dengan sambungan Lightning serta pengecas wayarles Qi dan MagSafe. Tetapi semua pengecas dijual berasingan, termasuk kepala pengecas berwayar. Sistem bunyi stereo terdapat di iPhone 14 dan 14 Plus. Ia juga masih kalis air IP68.
Prestasi di iPhone 14 dikatakan meningkat, walaupun sebenarnya ia masih menggunakan cip A15 Bionic yang serupa dengan iPhone 13. Perbezaannya pada GPU, kini dengan 5-teras berbanding hanya 4-teras di iPhone 13.
Bahagian kamera juga menerima naik taraf kecil. Masih dengan dwi-kamera 12MP di belakang, ia gabungan kamera utama f/1.5 dan kamera ultra-lebar F2.4. Penstabil imej optikal ‘sensor-shift’ masih digunakan. Satu lagi tambahan baru adalah Action Mode, dikatakan boleh menghasilkan video yang sangat stabil seperti kamera aksi.
Kamera hadapan juga masih 12MP tetapi dengan apertur F1.9. Tambah menarik kini adalah ia menyokong autofokus. Jadi gambar swafoto dapat ditangkap sentiasa tajam.
Dua ciri serba baharu
Perkara serba baharu yang ditambah ke dalam iPhone 14 adalah pengesanan kemalangan atau ‘Crash Detection’. Ia adalah sejenis fungsi bantuan yang membantu pengguna menghubungi pihak penyelamat atau kenalan rapat, jika ia mengesan berlakunya kemalangan kenderaan yang dinaiki. Ciri ini dijayakan melalui giroskop berjulat dinamik tinggi bersama sensor pemecut g-tinggi. Secara pintar, ia mengesan pergerakan yang berubah secara mendadak dan menghubungi pihak berkenaan serta berkongsi lokasi.
Tiada rangkaian talian mudah alih? Tiada lagi masalah kerana iPhone 14 kini ada fungsi SOS Satelit. Teknologi baru ini membolehkan mesej bantuan dihantar kepada pihak berkuasa, menerusi satelit di langit. Jadi, jika berada di tengah hutan atau puncak gunung dan tiada liputan, bantuan boleh dimohon secara sambungan satelit. Tetapi ia terhad kepada mesej bantuan SOS sahaja, tiada panggilan atau internet.
Terdapat lima warna disediakan untuk iPhone 14 dan iPhone 14 Plus iaitu biru, ungu, hitam, putih dan merah. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk iPhone 14.