Pengeluar kamera aksi terkenal GoPro telah mengumumkan dua model kamera baharu untuk tahun 2022 ini. Dua kamera tersebut ialah GoPro Hero 11 Black dan satu lagi ialah GoPro Hero 11 Black Mini. Kamera yang pertama membawakan beberapa naik taraf menarik berbanding Hero 10 Black tahun sedah manakala Hero 11 Black Mini boleh dilihat sebagai pengganti Hero 5 Session tahun 2018.
Spesifikasi GoPro Hero 11 Black
GoPro Hero 11 Black mengekalkan fizikaliti asal dengan naik taraf di bahagian dalam boleh anda cerap. Paling ketara adalah pada penggunaan sensor pengimejan yang lebih besar. Ia kini dilengkapi sensor bersaiz 1/1.9″ yang mengandungi 27 megapiksel di atas permukaannya. Dengan memanfaatkan sensor baharu ini, ada beberapa mode rakaman baharu boleh dimanfaatkan pengguna.
GoPro memasukkan ciri rakaman video dalam nisbah 8:7, kalau anda tonton sampel video yang diiklankan, nisbahnya hampir petak. Ideanya adalah, anda boleh crop video tersebut ke dalam nisbah 16:9 (melintang) ataupun 9:16 (menegak), lantas bermakna video sesuai digunakan untuk platform TikTok dan yang seangkatan dengannya.
Dalam mode rakaman tersebut, resolusi boleh pergi sehingga 5.3K pada 30fps. Tapi dalam mode selain 8:7, ia boleh pergi sehingga 5.3K@60. Lain-lain resolusi yang ada dalah seperti 4K@120 dan FHD@240.
Lagi manfaat sensor yang lebih besar adalah GoPro memperkenalkan Hyperview. Ia adalah mode sudut pandang yang lebih luas daripada Superview apabila imej 8:7 ditekan menjadi 16:9 bagi mendapatkan sudut pandang tersebut.
Cip pemproses GP2 masih digunakan pada generasi ini tapi GoPro 11 kali ini mampu merakam dalam 10-bit. Hal itu bermakna proses penyuntingan menjadi lebih lapang apabila lebih banyak data boleh dimanipulasi untuk menjadikan video lebih menarik.
Lagi mode rakaman baharu adalah HorizonLock, ciri hanya ada bila akseseori lensa khas digunakan, tapi kini ia ada secara default pada Hero 11.
Untuk mengambil gambar, ia kini menangkap gambar dalam resolusi 27MP berbanding 23MP. Sejumlah mode baharu diperkenal yang tertumpu kepada forografi berkomputer (computational photography) anda dapat mode Night Video Mode yang terdiri daripada 3 subkategori iaitu Star Trails, Vehicle Light Trails, dan Light Painting.
GoPro Hero 11 Black menerima bateri Enduro di dalam kotak. Ia adalah varian bateri khas yang tahan sejuk dan bila digunakan dalam keadaan biasa, ia memberikan waktu guna sehingga 38% lebih lama berbanding bateri biasa.
Daripada segi aksesori, GoPro Hero 11 Black padan dengan semua aksesori untuk Hero 9 Black dan Hero 10 Black.
Spesifikasi GoPro Hero 11 Black Mini
Ini adalah versi lebih kompak kepada Hero 11 Black tapi ia tidaklah sekompak Hero 5 Session dahulu. 11 Black Mini adalah 82% daripada Hero 11 Black berbanding 42% Hero 5 Session.
Daripada sudut fizikaliti, Hero 11 Black Mini kehilangan skrin depan dan belakang tapi digantikan dengan satu paparan monokrom di bahagian atas untuk memudahkan pemilihan mode rakaman. Selain itu, kamera ini juga menerima dua titik tambat, satu berada di bawah dan satu lagi berada belakang untuk lebih keversatilan sewaktu merakam.
Daripada sudut videografi dan fotografi, ia memiliki keupayaan yang sama dengan 11 Black Mini. Kalau ada bezapun mungkin pada sudut bateri kerana bateri kamera ini adalah jenis yang terbina di dalam. Apabila tenaga telah habis, proses rakaman perlu dihentikan kecualilah anda menguasakannya dengan tenaga luar seperti powerbank melalui port USB-C.
Harga siri GoPro Hero 11 Black
Di dalam pasaran A.S GoPro Hero 11 Black dijual pada harga USD399 (dengan langganan servis awan) dan USD499 (tanpa langganan) manakala Hero 11 Black Mini dijual pada harga USD299 (dengan langganan servis awan) dan USD399 (tanpa langganan).
Harga untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui. Tapi ada satu entri di gedung dalam talian yang menyenaraikannya pada RM2,399. Sekiranya benar, ia adalah harga yang sama sewaktu Hero 10 Black dilancarkan dan ia adalah satu berita yang baik untuk pengguna di sini.