Nak beli laptop sambil berjimat? Adakalanya, untuk berjimat dalam perbelanjaan, membeli peranti terpakai adalah pilihan yang baik. Anda boleh dapat laptop yang berfungsi sepenuhnya dengan sebahagian kecil daripada harga asal. Walau bagaimanapun, membeli laptop terpakai tetap ada risikonya sendiri. Maka anda perlu jalankan beberapa ujian sebelum membelinya. Berikut merupakan 8 perkara yang perlu diperiksa sebelum beli laptop terpakai, supaya anda berpuas hati dengan kualitinya sekaligus dapat memastikan ia dijual setanding dengan harga.
1. Periksa fizikal dengan teliti
Periksa badan laptop sepenuhnya. Pastikan tiada keretakan atau kesan pada bingkai laptop itu. Periksa juga jika ada sebarang skru yang hilang, engsel kendur atau kerosakan pada bahagian lain. Jika fizikal luar laptop itu kelihatan teruk, ia mungkin telah jatuh banyak kali dan membawa kepada kerosakan di bahagian dalam.
2. Periksa keadaan skrin
Sahkan jika skrin laptop berfungsi dengan baik. Periksa jika terdapat kelipan, perubahan warna, masalah kecerahan dan piksel yang rosak. Buka video dan cuba tonton dari pelbagai sudut untuk kenal pasti masalah itu.
3. Uji hayat bateri
Anda mungkin tidak dapat lakukan pemeriksaan bateri yang menyeluruh pada laptop sebelum dibeli. Oleh itu, periksa laporan bateri pada tetapan untuk lihat jumlah kapasiti pengecasan yang boleh disimpan bateri dan status kesihatan bateri. Ini akan memberi anda petunjuk tentang berapa lama bateri laptop boleh bertahan. Untuk Macbook anda boleh ikut cara di bawah:
- Tekan logo Apple di atas kiri
- Pilih System Preferences
- Klik Battery dan klik lagi pilihan Battery
- Di penjuru kanan sebelah bawah, klik Battery Health. Di situ anda akan lihat keadaan bateri sama ada Normal atau Service recommended serta kapasiti maksimum bateri.
Untuk Windows 11, ini caranya:
- Tekan Search pada taskbar, taip Command prompt
- Klik kanan Command prompt, kemudian pilih Run as administrator dan klik Yes
- Seterusnya, pada command prompt, taip powercfg /batteryreport, kemudian tekan Enter
- Laporan bateri akan disediakan dalam fail HTML. Ia disimpan dalam folder pada laptop anda. Lokasi fail akan ditunjukkan dalam tetingkap Command Prompt.
- Buka File Explorer, pergi ke fail yang menyimpan laporan bateri itu. Klik dua kali pada laporan bateri (fail HTML) untuk bukanya dalam penyemak imbas web anda.
- Anda boleh dapat banyak maklumat penggunaan bateri dan kapasitinya di situ
4. Periksa papan kekunci dan pad jejak
Papan kekunci dan pad jejak adalah komponen laptop yang paling kerap digunakan. Oleh itu, adalah penting untuk pastikan kedua-duanya berada dalam keadaan baik sebelum membeli laptop terpakai. Untuk papan kekunci, cuba anda taip menggunakannya untuk periksa kerosakan. Jika anda rasa tidak selesa menaip dan membuat banyak kesilapan, mungkin ada masalah pada papan kekunci itu.
Bagi pad jejak pula, cuba gunakannya untuk zum, scroll dan sebagainya. Jika anda mempunyai kekunci tetikus, pastikan ia mudah digunakan.
5. Periksa port dan Pemacu CD/DVD
Eksperimen dengan semua port USB, bicu fon kepala, penyambung Ethernet, HDMI, slot kad SD dan input lain. Kebanyakannya disambungkan terus ke papan induk, yang mungkin mahal untuk diganti. Walaupun CD dan DVD tidak lagi digunakan, tapi banyak laptop masih sertakan pemacu CD/DVD. Maka, periksa jika ia masih berfungsi dengan baik.
6. Periksa pembesar suara dan kamera web
Sebilangan besar kamera web pada laptop berkualiti rendah. Namun, mempunyai kamera yang berfungsi sederhana adalah lebih baik daripada tidak mempunyainya sama sekali. Maka, periksa sama ada ia berfungsi atau pun tidak. Selain itu, semak juga kekuatan audio pada pembesar suara.
7. Sambungan wayarles
Anda nak laptop yang tidak boleh disambungkan pada Internet? Mestilah tak nak, kan? Jadi pastikan laptop boleh disambungkan ke rangkaian Wi-Fi dengan mudah. Periksa prestasi sambungan Bluetooth juga.
8. Harga yang berbaloi
Semak dan bandingkan harga model laptop terpakai itu dengan model yang baru atau diperbaharui (refurbished) sebelum membuat pembelian. Pastikan ianya lebih murah dan setanding dengan kualitinya. Selain itu, jika anda beli laptop terpakai, pastikan ada resit kedai. Jadi bolehlah anda tuntut cukai pendapatan dari pembelian itu.
Anda masih rasa teragak-agak untuk beli laptop terpakai atau tidak? Pasti ada yang risau jika laptop itu tidak berfungsi dengan baik selepas beberapa bulan membelinya. Tapi anda perlu tahu, ada banyak kelebihan akan anda dapat apabila beli laptop terpakai. Berikut merupakan 4 faedahnya.
a. Boleh dipercayai
Laptop terpakai akan diuji dan diperiksa dengan teliti sebelum dijual, sebarang pepijat atau masalah yang ditemui akan dibaiki untuk anda. Walaupun laptop baru di pasaran ada lebih banyak fungsi, tapi itu tidak menjamin tiada kerosakan. Anda hanya boleh tahu masalah selepas produk itu digunakan. Namun ini semua bergantung pada penjual jika mereka benar-benar jujur tentang masalah yang ada.
b. Pelihara alam sekitar
Anda mesti sedar tentang kesan perubahan iklim terhadap bumi. Jika anda ingin memberi kebaikan kepada alam sekitar, belilah laptop terpakai. Anda secara tidak langsung dapat selamatkan alam sekitar daripada bahan kimia berbahaya yang digunakan dalam proses pembuatan. Namun, cara terbaik untuk pelihara alam sekitar ialah tidak menambah sampah atau kerosakan dengan kitar semula. Membeli laptop terpakai adalah salah satu cara kitar semula.
c. Bagus untuk penjimatan
Walaupun ada laptop murah dari jenama mewah, tapi model tersebut mungkin tidak sesuai dengan semua keperluan anda. Laptop terpakai mempunyai semua ciri yang ada pada laptop baru, tapi ia dijual pada harga yang lebih rendah. Anda boleh terima semua ciri tersebut dengan harga 20-30 peratus kurang daripada harga asal. Maka, anda bolehlah berjimat banyak!
d. Laptop terpakai kurang penyelenggaraan
Proses mengkonfigurasi laptop baru, memasang perisian, sistem pengendalian dan menyelenggaranya adakalanya boleh menjadi sukar. Tapi, apabila ia datang kepada laptop terpakai, semua proses itu telah pun dilaksanakan untuk anda. Beli dan terus pakai. Dalam jangka panjang, kos penyelenggaraan juga akan rendah.
Jadi, anda nak beli laptop baru atau terpakai? Model laptop apa yang anda idamkan? Jika masih belum ada rancangan, anda boleh lihat senarai laptop sekitar RM2,500 di sini untuk dijadikan panduan.