Selalu guna Airbnb untuk tempah penginapan? Pernah tak anda terkejut sebab perlu bayar jumlah yang berbeza apabila ingin menempah, sebab harganya mahal berbanding jumlah yang dinyatakan semasa di halaman carian? Perkara ini seolah-olah terdapat caj yang disembunyikan.
Di platform Airbnb, pengguna tidak dapat lihat caj pembersihan, caj perkhidmatan, jumlah harga untuk lebih 2 tetamu serta kiraan tepat untuk bermalam lebih 2 hari, di halaman utama. Oleh kerana itu, beberapa pengguna sebelum ini ada mengadu mengenai kos bayaran penuh ini. Perkara ini hampir sama dengan situasi syarikat penerbangan dahulu, sebelum MAVCOM mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan harga sebenar tiket penerbangan beserta semua caj sebelum di bayar.
Justeru itu, Airbnb kini merancang untuk jadikan jumlah kos yang tertera di platform itu lebih jelas kepada pelanggan semasa mereka mencari tempat tinggal. Menurut mereka, akan diperkenalkan pilihan untuk pengguna lihat kos sebelum cukai yang perlu dibayar, termasuklah kos pembersihan dan perkhidmatan lain dalam hasil carian. Maknanya, jumlah yang dipaparkan nanti bukan hanya kos penginapan untuk satu malam. Tapi bagi saya, lebih baik mereka masukkan kos cukai sekaligus seperti di Booking.com supaya pengguna mudah menguruskan perbelanjaan.
I’ve heard you loud and clear—you feel like prices aren’t transparent and checkout tasks are a pain. That’s why we’re making 4 changes:
— Brian Chesky (@bchesky) November 7, 2022
1. Starting next month, you’ll be able to see the total price you're paying up front. pic.twitter.com/58zodrzU3g
Selain itu, mereka juga akan mengutamakan jumlah harga dalam algoritma kedudukan carian. Rumah berkualiti tinggi dengan jumlah harga terbaik akan mendapat kedudukan lebih tinggi dalam hasil carian.
Bagi Hos pula, Airbnb ada merancang untuk perkenalkan alat harga dan diskaun yang baharu bagi membolehkan mereka menetapkan harga yang lebih kompetitif untuk kekal berdaya saing.
Saya rasa semua perkara ini penting untuk diletakkan supaya perkhidmatan Airbnb dapat tarik lebih ramai lagi pengguna. Namun setakat ini, berbanding Airbnb, saya lebih suka gunakan Booking.com dan Agoda sebab jumlah harga yang perlu dibayar dinyatakan jelas pada halaman carian, tiada caj tersembunyi dan pastinya ada banyak pilihan yang murah.
[Sumber: CNN]