Tablet pernah melalui zaman suram apabila skrin telefon pintar menjadi semakin besar, terutama dengan populariti siri Samsung Galaxy Note. Tetapi permintaan terhadap tablet kembali meningkat di waktu pandemik COVID-19 melanda dunia.
Dengan pelaksanaan pendidikan dari rumah serta jarak jauh, ibubapa berpusu-pusu mendapatkan tablet untuk anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam aspek pembelajaran. Ini termasuk mahasiswa di pusat pengajian tinggi.
Kerana itu juga, pengeluar peranti kembali menghasilkan lebih banyak model tablet mampu milik. Tahun ini, kita melihat banyak jenama mengeluarkan tablet pertama mereka. Malah, ada yang menawarkannya dengan harga di bawah RM1,000.
Salah satu darinya adalah tablet Honor Pad X8. Ia baru sahaja diumumkan tiba di Malaysia dan akan mula dijual pada 11 November 2022. Honor Pad X8 dikenakan tanda harga RM899 bersama RAM 4GB dan storan 64GB. Tetapi adakah nilai ini berbaloi dan ia mampu memenuhi keperluan anda atau anak anda?
Kami akan berikan jawapan kepada persoalan anda dengan berkongsi pendapat kami selepas menggunakan Honor Pad X8 untuk beberapa hari.
Spesifikasi Honor Pad X8
Sebelum melihat dengan teliti, kita lihat dulu secara ringkas spesifikasi tablet Honor Pad X8.
- SoC: Mediatek Helio G80
- RAM: 4GB
- Storan: 64GB, terima mikroSD sehingga 512GB
- Skrin: LCD 10.1-inci HD Penuh
- Kamera belakang: 5MP autofokus
- Kamera depan: 2MP fokus tetap
- Bateri: 5,100mAh, kuasa pengecas 10W USB-C
- Speaker: Stereo
- Sambungan: Bluetooth 5.1, WiFi 802.11ac, 4G LTE
Di dalam kotak, Honor memberikan tablet, kabel USB-A ke USB-C, kepala pengecas 10W 3-pin dan jarum membuka dulang SIM/mikroSD. Sarung pelindung berdiri tablet ini ada dijual berasingan, berharga RM99.
Pengalaman penggunaan
Menghidupkan tablet ini, pengguna disapa dengan logo Android. Tetapan awalnya serupa dengan mana-mana telefon pintar Honor kerana ia menggunakan sistem operasi MagicUI 6.1 berasaskan Android 12.
Kualiti skrin Honor Pad X8 nampak baik. Tahap kecerahannya mencukupi untuk penggunaan di dalam bangunan dan jelas tajam dengan resolusi HD penuh. Tetapi menurut Netflix, ia hanya menyokong Widevine L3 atau tayangan resolusi SD 480p sahaja. Ini mungkin kerana ia adalah peranti sebelum dilancarkan secara rasmi. Diharapkan ia boleh menyokong Widevine L1 di masa akan datang.
Bagaimanapun, bingkai hitam tebal masih digunakan di Honor Pad X8. Ini menyerupai rekaan lama iPad yang kini telah berubah kepada bingkai nipis dan pengimnbas capjari d butang kuasa. Perlu diketahui, Honor Pad X8 tiada pengimbas capjari. Walaupun bingkainya tebal, badan tablet ini boleh dikelaskan sangat nipis. Tidak terasa kekok atau kurang selesa dipegang.
Kedudukan kamera adalah tepat, di tengah-tengah bahagian bingkai yang panjang. Ini paling sesuai untuk kegunaan pembelajaran atas talian, apabila didirikan bersama sarung pelindung berdiri.
Sistem bunyi juga sangat jelas dan lantang, dihasilkan melalui dua speaker stereo yang menembak ke kiri dan kanan. Tetapi Honor Pad X8 tidak lagi menyokong fon telinga berwayar kerana tiada jek audio 3.5mm. Jika anda mahu membuat panggilan video tanpa speaker, pilihan yang tinggal adalah fon telinga Bluetooth.
Bateri kecil dan cas perlahan
Jika ada yang tidak enak di Honor Pad X8, ia adalah bateri dan pengecas. Dengan saiz skrin sebesar 10.1-inci, kapasiti bateri tablet ini dilihat sangat kecil iaitu 5,100mAh sahaja. Realme Pad Mini yang ada skrin lebih kecil 8.7-inci, ada bateri 6,400mAh di dalam.
Tambah parah apabila ia menyokong kuasa pengecas sehingga 10W sahaja. Ia memerlukan masa sekitar 3 jam untuk diisi dari kosong ke 100%. Bateri kecil dan kuasa pengecas perlahan. Nasib baik ia menggunakan sambungan USB-C yang lebih baru dan ada kepala pengecas diberi di dalam kotak. Untuk penggunaan pembelajaran dalam talian beberapa jam sehari, ia sebenarnya mencukupi. Tetapi di waktu kecemasan dan tak ada masa nak mengecas, ini adalah masalah besar.
Satu lagi yang kelihatan janggal adalah kedudukan USB-C. Ia tidak terletak di tengah tetapi sedikit ke tepi. Jika didiri menggunakan sarung lipat berdiri, ia terletak lebih tinggi daripada biasa.
Selain itu, Honor juga tidak mengenakan antaramuka yang sesuai untuk tablet atau skrin besar. Ia kelihatan masih serupa dengan antaramuka di telefon pintar. Paling ketara di bahagian menu pantas di atas. Tetapi di bahagian Settings, ia dibahagikan dengan cantik kepada dua bahagian.
Di samping itu, Honor Pad X8 boleh menjalankan dua aplikasi serentak. Boleh pilih untuk meletakkannya sama saiz sebelah menyebelah, atau satu aplikasi terapung kelbih kecil di atas aplikasi yang lain. Bagaimanapun, tidak semua aplikasi menyokong dua paparan serentak. Antara yang serasi adalah aplikasi Honor sendiri, serta aplikasi Google macam YouTube dan Chrome.
Kesimpulannya, berbaloi?
Dari pengalaman menggunakan Honor Pad X8 ni, ia memenuhi semua keperluan baik minima. Seperti skrin HD Penuh yang cerah dan speaker stereo yang lantang. Bateri kecil dan pengecas perlahan tidak mempengaruhi pengalaman penggunaan, kalau anda merancang masa mengecas dengan tepat agar bateri tidak habis sewaktu diperlukan.
Prestasi Helio G85 juga ala kadar. Ia mampu menjalankan semua aplikasi dengan lancar, termasuk membuka dua aplikasi serentak. Tetapi ia tidak sesuai untuk bermain game berkuasa tinggi, seperti Genshin Impact yang saya cuba banyak tersekat-sekat.
Dengan harga RM899, Honor Pad X8 ibarat berada di kelas tersendiri dan tiada saingan terus. Ini kerana ia menyokong 4G LTE. Tablet lain yang berada di dalam harga yang agak serupa adalah Redmi Pad, dengan harga RM899 untuk storan 64GB. Tetapi Redmi Pad tiada 4G walaupun prestasi lebih tinggi dan skrin 90Hz.
Selain itu adalah Realme Pad Mini dengan skrin lebih kecil 8.7-inci dan ada 4G LTE, berharga RM799 dan storan 64GB. Baterinya lebih besar dan pengecas 18W. Pilihan lebih baik kalau anda selesa dengan skrin sedikit kecil.
Jika anda mahu 4G dan skrin 10.1-inci HD Penuh di bawah RM1,000, maka Honor Pad X8 adalah pilihan yang sangat bagus. Jika berminat, anda boleh membelinya mulai 11 November 2022 bersama sarung lipat percuma. Ia ada dijual di Stor Honor di Lazada dan Shopee.