Sebagai langkah untuk mengetatkan lagi keselamatan perbankan pengguna, CIMB Bank hari ini mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan penggunaan SMS TAC untuk beberapa transaksi di pelayar web bermula minggu hadapan. Pengesahan transaksi nanti hanya boleh diperolehi menerusi fungsi SecureTAC yang terdapat di dalam aplikasi CIMB.
Berkuatkuasa 5 Disember 2022, pengesahan SecureTAC akan diwajibkan untuk semua transaksi CIMB Clicks menerusi pelayar web bernilai RM100 dan ke atas. Ia termasuk menghantar dana kepada bukan kenalan, pembayaran bil dan tambah nilai prabayar. Tiada lagi SMS TAC akan diberikan kepada pengguna untuk pengesahan transaksi.
Sehubungan itu, cara untuk meluluskan transaksi CIMB Clicks di pelayar web ini adalah melalui SecureTAC di aplikasi CIMB Clicks atau CIMB Octo sahaja. Jika masih belum ada, pengguna dinasihatkan untuk memasang aplikasi ini sebelum melaksanakan transaksi CIMB Clicks. Bagi yang sudah memasangnya, digalakkan untuk menghidupkan notifikasi agar penerimaan SecureTAC menjadi lebih lancar.
CIMB juga berhasrat untuk meluaskan lagi penggunaan SecureTAC di aplikasi kepada transaksi di bawah RM100, serta lain-lain transaksi bukan wang, menjelang pertengahan tahun 2023.
Langkah yang diambil CIMB ini merupakan satu lagi fasa pengukuhan keselamatan yang telah dimulakan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan arahan supaya Bank mengetatkan lagi ciri keselamatan perbankan digital.
Panggilan pengesahan untuk daftar masuk kali pertama
Mulai 26 Disember 2022 pula, pengguna baru dan sedia ada yang mahu mendaftar masuk pertama kali ke aplikasi CIMB Clicks atau CIMB Octo, perlu melalui proses panggilan pengesahan. Ia untuk memastikan pemilik akaun sebenar sahaja yang dibenarkan untuk mendaftar masuk.
Apabila daftar masuk pertama kali ini dibuat, pengguna perlu menghubungi Pusat Panggilan Pengguna CIMB yang beroperasi 24/7 di talian +60362047788 untuk mengesahkan pendaftaran di peranti baru dan mengekalkan akses tersebut. Selain itu, CIMB juga akan berusaha menghubungi pengguna dalam tempoh 24 jam selepas daftar masuk peranti baru dibuat bagi membuat pengesahan.
Jika pengguna tidak dapat dihubungi dalam tempoh 24 jam ini, atau proses pengesahan tidak dapat dilengkapkan, akaun CIMB Clicks tersebut akan dinyahaktifkan sebagai langkah pencegahan. CIMB merancang untuk meluaskan lagi proses pengesahan ini menjelang pertengahan 2023 bagi mewajibkan pengguna untuk menghubungi pihak Bank untuk mengaktifkan akaun mereka buat pertama kali.
Ingat, hanya muat turun aplikasi CIMB Clicks atau CIMB Octo daripada saluran rasmi dan sah sahaja iaitu di Apple AppStore, Google PlayStore dan Huawei AppGallery. Jangan memasangnya daripada sumber lain kerana ia mungkin telah dipasang perisian hasad dan mudah diceroboh. Di samping itu, CIMB juga menetapkan standard minima keselamatan untuk peranti iaitu sekurang-kurangnya menggunakan Android 9 atau iOS 12 dan ke atas.
Ragu-ragu? Tamatkan panggilan
Pengguna juga perlu berwaspada dan ingat bahawa Bank tidak akan pernah meminta ID daftar masuk, kata laluan atau nombor pin semasa proses pengesahan. Pengguna juga diminta untuk tidak memberikan maklumat ini kepada sesiapa sahaja, tidak kira yang mengaku daripada Bank atau orang lain. Tamatkan sahaja panggilan jika rasa ragu-ragu dan hubungi semula talian rasmi Bank.
Sebarang persoalan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Pengguna CIMB di talian +60362047788 yang tersedia sepanjang masa 24/7. Selain itu, kunjungi laman web www.cimbclicks.com.my untuk maklumat lanjut.
Bacaan Berkaitan
- CIMB perketat keselamatan dengan pelaksanaan akses peranti tunggal
- TIPS: Cara mudah kenali scammer & langkah elak menjadi mangsa penipuan
- CIMB OCTO, aplikasi perbankan serba baharu pengganti CIMB Clicks dilancar secara berperingkat
- Peningkatan jenayah scam membimbangkan, BNM arah bank sekat transaksi mencurigakan & ganti SMS OTP