Nothing Phone (1) boleh dikatakan sebagai telefon pintar paling heboh diperkatakan sebelum ia dilancar. Tetapi selepas pelancarannya, sambutan pembeli dilihat agak suam-suam kuku. Mungkin kerana harganya yagn diletakkan melebihi RM2,000, membuatkan orang ramai masih ragu-ragu mendapatkannya.
Kini, peminat di Malaysia boleh mendapatkan telefon Nothing Phone (1) pada harga jauh lebih rendah. Ini kerana Nothing Phone (1) telah dijual dengan varian lebih rendah, iaitu RAM 8GB dan storan 128GB. Selain itu, harga varian sedia ada turut diturunkan sebanyak RM400.
Berikut adalah harga terkini untuk Nothing Phone (1) di Malaysia:
- Nothing Phone (1) [RAM 8GB + Storan 128GB] – RM1,499
- Nothing Phone (1) [RAM 8GB + Storan 256GB] –
RM2,399RM1,999 - Nothing Phone (1) [RAM 12GB + Storan 256GB] –
RM2,699RM2,299
Harga baru dan storan 128GB ini boleh didapati di pengedar Nothing seperti DirectD dan TMT. Selain itu, Stor Rasmi Nothing di Shopee turut menawarkannya, tetapi kupon RM400 perlu ditebus dan digunakan untuk mendapat diskaun.
Tarikan utama Nothing Phone (1) yang dikatakan revolusi di telefon pintar masakini, adalah jalur LED Glyph. Ia dibentuk daripada 900 LED dan disusun dalam pelbagai bentuk di belakang. Telefon ini turut memiliki bahagian belakang yang lutsinar bagi melihat jalur LED Glyph dengan lebih jelas.
Jalur LED ini boleh ditetapkan untuk bercahaya dalam pelbagai bentuk dan kerlipan. Dengannya, pengguna boleh menetapkan ia bercahaya untuk notis baharu aplikasi berbeza. Malah, panggilan dari kenalan berlainan turut boleh ditetapkan, supaya pengguna tahu panggilan mana perlu dijawab dan yang mana tidak mahu diangkat.
Selain itu, Nothing Phone (1) datang dengan sistem operasi Nothing OS. Ia dikatakan membawa antaramuka yang mudah digunakan serta akan berhubungan lancar pelbagai peranti IoT. Nothing juga menjanjikan kemaskini keselamatan selama 4 tahun setiap 2 bulan, serta kemaskini Android selama 3 tahun untuk Phone (1).
Untuk prestasi, cip Snapdragon 778G+ 5G 6nm digunakan sebagai penggerak utama, bergandingan dengan RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1 sebanyak 256GB. Tiada slot mikroSD padanya.
Skrin pula jenis OLED 6.55-inci, memiliki resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran dinamik 120Hz. Ia ada kecerahan 500 nits dan boleh pergi setinggi 1,200nits menerusi HDR10+. Kaca Corning Gorilla Glass 5 menjadi melapisi bahagian atas skrin dan pengimbas capjari ada di dalam skrin. Menariknya, bingkai skrin di Phone (1) sama tebal di semua arah.
Tenaga disalurkan oleh bateri berkapasiti 4,500mAh, yang menyokong pengecasan pantas 33W PD 3.0 menerusi USB-C. Kepala pengecas tidak diberikan, perlu dibeli berasingan tetapi kabel USB-C ada disediakan. Pengecasan wayarles turut disokong menerusi teknologi Qi sehingga 15W.
Terdapat dua kamera di belakang, dengan kamera utama 50MP F1.88 Sony IMX766 serta kamera ultra lebar 50MP F2.2 Samsung JN1. Kamera hadapan pula 16MP, terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Nothing Phone (1) tiada jek audio 3.5mm tetapi ia memiliki speaker stereo. Ia juga kalis percikan air IP53.
Bacaan Berkaitan
- Nothing Phone 1 dilancar di Malaysia, ambil tempahan awal di kedai jalanan Bukit Bintang
- Telefon revolusi Nothing Phone (1) ada 900 LED di belakang, serasi digunakan di Malaysia
- Baru seminggu Nothing Phone 1 dijual, sudah ada banyak aduan dan masalah
- Pandangan awal Nothing Phone (1), Tiada lagi perkara menarik selain jalur LED Glyph?
- Ini senarai pusat servis bertauliah untuk Nothing Phone (1) anda
- Tiada Android 13 untuk Nothing Phone (1) tahun ini, supaya pengguna tenang dan aman