Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Fadzil berkata beliau telah memaklumkan masalah iklan penipuan (scam) di Facebook kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multiemdia (SKMM) dan di dalam kementeriannya, KKD. Meta, pemilik Facebook dilihat masih terus membiarkan scammer menggunakan platform media sosial mereka untuk menjalankan iklan scam yang menyamar sebagai jenama dan personaliti terkenal di Malaysia.
Dalam perkongsian SKMM baru-baru ini, mereka telah membuang sebanyak 2,731 akaun palsu dan page yang meniru di pelbagai platform media sosial dari tahun 2020 sehingga November 2022. Bagaimanapun, SKMM menyatakan bahawa polisi kawal selia sedia ada tidak cukup berkesan untuk mengawal platform yang terletak di luar negara seperti Facebook.
Dalam twitter baru-baru ini, Fahmi menyatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji dan mencari langkah terbaik termasuk meningkatkan undang-undang dan kerangka kawal selia untuk menangani masalah ini. SKMM turut memberitahu kami bahawa Meta akan memberi penerangan kepada menteri pada 12 Januari 2023.
Algoritma Meta terus gagal menghalang iklan scammer di Facebook
Sudah sejak sekian lama, Meta masih gagal untuk menangani iklan scammer di Facebook dan ia telah menjadi tempat ramai mangsa di Malaysia kehilangan ratusan ribu ringgit. Meta hanya memaklumkan bahawa mereka telah meletakkan kawal selia yang sepatutnya untuk menghalang penipuan berlaku, tetapi kita semua masih dalam melihat iklan scammer ini terus dipapar sedangkan, ia boleh dihalang dengan mudah.
Kami juga dimaklumkan, tiada orang di pejabat Meta Malaysia boleh mengambil tindakan dengan membuang iklan scammer yang telah dilaporkan pengguna di Malaysia, kerana mereka hanya boleh menunggu tindakan diambil oleh pasukan antarabangsa. SoyaCincau telah mengumpukan begitu banyak bukti-bukti iklan scammer di Facebook, malah masih banyak iklan ini masih ada selepas 72 jam dilaporkan orang ramai.
Kerajaan harus wajibkan media sosial diuruskan pasukan dalam Malaysia
Memandangkan Meta tidak boleh menggunakan teknologi ‘pintar’ mereka untuk menyelesaikan masalah iklan scammer ini, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengambil tindakan secara manual dengan menghalang dan menghentikan iklan tersebut. Sebagai syarikat yang mengumpul bilion dolar AS daripada iklan, Meta sepatutnya membuat pelaburan dalam negara untuk memastikan sistem iklan mereka selamat dari aktiviti scammer. Kebanyakan iklan ini boleh disekat dengan mudah dan segera jika pemeriksaan asas dibuat, seperti mengesahkan latar pengiklan dan jenis iklan mereka.
Langkah paling pantas boleh diambil kerajaan adalah mewajibkan semua platform media sosial untuk menubuhkan pasukan pengawasan (moderator) yang boleh mengeawasi dan mengambil tindakan, di dalam negara sendiri. Mana-mana Page yang baru ditubuhkan dan memiliki kurang daripada 10,000 pengikut atau baru menukar nama, mesti diperiksa secara manual dahulu sebelum diluluskan iklannya. Jika ada iklan dilaporkan, ia mesti disemak segera dan disekat dalam masa 24 jam. Mana-mana arahan SKMM untuk menyekat iklan pula mesti diambil tindakan dalam masa 4 jam. Mana-mana platform media sosial yang tidak mahu mengikut arahan ini, tidak dibenarkan menjalankan iklan di Malaysia.
Kita dapat melihat sewaktu Pilihanraya Umum ke-15 yang lepas, banyak video yang mengancam ketenteraman awam telah dimuat naik di TikTok. Selepas dilaporkan orang ramai, TikTok Malaysia segera mengambil tindakan dengan membuangnya. Manakala di Facebook, iklan scammer masih terus berjalan dengan tenang dan merugikan begitu ramai rakyat Malaysia. Jika laporan orang ramai tidak dihiraukan, kerajaan yang mendengar suara rakyat mesti mengambil tindakan wajar dengan segera.
[Sumber: SoyaCincau]