Maklumat utama tentang telefon pintar Samsung yang akan dilancar di acara Galaxy Unpacked pada 1 Februari kelak, seperti sudah tiada rahsia lagi. Selain rupa penuhnya yang telah terdedah, kini tersebar pula senarai penuh spesifikasi siri Galaxy S23.
Seperti biasa, pembocor berita teknologi Roland Quandt telah berkongsi senarai spesifikasi yang katanya berasal daripada Samsung Jerman. Dia menayangkan spesifikasi penuh untuk Galaxy S23, Galaxy S23+ dan Galaxy S23 Ultra.
Secara ringkas, spesifikasi Galaxy S23 dan Galaxy S23+ agak serupa. Malah, ia seperti tidak banyak peningkatan berbanding Galaxy S22 dan Galaxy S22+. Antaranya, skrin yang tidak berubah, berukuran 6.1-inci untuk Galaxy S22 dan 6.6-inci di Galaxy S22+. Masih dengan resolusi HD Penuh, kadar penyegaran 48Hz-120Hz dan sokongan HDR10+. Bezanya adalah penggunaan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2.
Kamera hadapan dipertingkat kepada 12MP F2.2. Manakala kamera utama di belakang menggunakan sensor 50MP F1.8. Kamera ultra lebar dinaik kepada 12MP F2.2 manakala kamera telefoto kekal 10MP F2.4 dengan 3x zum optikal.
Perkara paling baik apabila kapasiti bateri ditambah 200mAh, menjadi 3,900mAh untuk Galaxy S23 dan 4,700mAh di Galaxy S23+. Tetapi mengecewakan apabila kuasa mengecas langsung tidak berubah. Hanya 25W di Galaxy S23 dan 45W di Galaxy S23+, bersama 10W pengecasan wayarles.
Sambungan wayarles ada sedikit peningkatan, menyokong WiFi 6E untuk kedua-dua model dan Bluetooth v5.3. Lain-lain yang kekal adalah seperti speaker stereo, kalis air IP68 dan dwi sim 5G.
Paling utama, Samsung dikhabarkan akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 4nm untuk semua siri Galaxy S23 kali ini. RAM LPDDR5 sebanyak 8GB akan dibekalkan untuk Galaxy S23 dan Galaxy S23. Tetapi pilihan storan antara 128GB dan 256GB di Galaxy S23, dan 256GB dan 512GB di Galaxy S23+.
Samsung Galaxy S23 Ultra: here are all the specs for the new flagship smartphone feat. S Pen and the new ISOCELL HP2 200MP main camera sensor https://t.co/eWguI282zx
— Roland Quandt (@rquandt) January 18, 2023
RT much appreciated as always! #SamsungUnpacked #GalaxyS23Ultra
Di Galaxy S23 Ultra pula, nampak lebih mengecewakan kerana naik taraf sangat sedikit. Tetapi ia akan menawarkan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 1TB. Bateri serupa, 5,000mAh dan pengecasan pantas 45W serta pengecasan wayarles 10W.
Perbezaan di skrin hanyalah kaca Corning Gorilla Glass Victus 2. Ia masih jenis Dynamic AMOLED 2X 6.8-inci berlubang kecil di atas, resolusi QuadHD dan kadar penyegaran dinamik 1-120Hz.
Jika laporan ini benar, kamera hadapan seperti turun taraf kerana menggunakan sensor 12MP, berbanding 40MP di Galaxy S22 Ultra. Kamera belakang pula berubah di kamera utama iaitu sensor 200MP F1.7 OIS, ditemani kamera ultra lebar 12MP F2.2, kamera telefoto F2.4 69mm (3x zum) OIS dan kamera telefoto 10MP F4.9 230mm (10x zum) OIS.
Dengan spesifikasi yang tidak banyak berubah, selain rupa yang hampir sama, apa yang dinantikan adalah harganya yang sepatutnya sama atau lebih murah berbanding pelancaran Galaxy S22 tahun lepas. Nantikan laporan daripada kami tentang semua berita Galaxy S23 yang akan datang.
[Sumber: Rquandt 1, Rquandt 2]
Bacaan Berkaitan
- Samsung umum tarikh Galaxy Unpacked, pentas pelancaran Galaxy S23
- Gambar sebenar Galaxy S23 didedah dalam resolusi rendah
- Habis semua gambar siri Galaxy S23 didedah, ada empat warna yang serupa
- Kemas kini One UI 5.1 Samsung semakin hampir, ini senarai antara yang terawal untuk terimanya
- Samsung lancar ISOCELL HP2, sensor 200MP untuk siri Galaxy S23