Adakalanya situasi kereta rosak di tengah jalan tidak boleh dielakkan. Antara masalah yang sering dihadapi pemandu ialah tayar kereta pancit, brek tidak berfungsi serta enjin tiba-tiba panas dan berasap. Pasti ada dalam kalangan pemandu yang rasa panik dengan situasi ini. Oleh itu, berikut merupakan 4 tindakan yang sepatutnya anda lakukan apabila kereta tiba-tiba rosak di tengah jalan semasa memandu.
1. Berhenti di Lokasi Selamat
Jika anda mengesan perkara pelik pada kereta, contohnya lampu brek tiba-tiba menyala, segera berhentikan kereta anda di bahu jalan atau kawasan yang mudah dilihat. Jika kejadian tersebut berlaku pada waktu malam, berhentikan kereta anda di lokasi tumpuan ramai seperti stesen minyak untuk keselamatan.
2. Pastikan anda mudah dilihat pemandu lain
Selepas anda berjaya berhentikan kenderaan pastikan anda dan kenderaan boleh dilihat oleh pemandu lain dengan mudah. Antaranya adalah dengan menghidupkan lampu hazard. Ia boleh beri amaran kepada pemandu lain bahawa kenderaan anda mengalami masalah. Selain itu, membuka bonet hadapan di kereta juga boleh menjadi satu isyarat kecemasan kepada pemandu lain tentang kerosakan kereta anda.
Anda juga digalakkan untuk memakai jaket atau pakaian pemantul cahaya terutamanya pada waktu malam. Dengan cara ini, bolehlah pemandu lain untuk melihat anda dengan lebih jelas. Bukan itu sahaja, ingat untuk letakkan segi tiga amaran kira-kira 45 meter dari belakang kereta untuk memaklumkan ada kecemasan atau kerosakan di hadapan, kepada pemandu lain.
3. Segera Dapatkan Bantuan
Setelah lakukan dua langkah di atas, tibalah masanya untuk anda dapatkan bantuan. Jika kereta anda rosak di tengah jalan, ada kemalangan berlaku atau menghalang lalu lintas, anda perlu hubungi polis di 999. Ia perlu dilakukan bagi membolehkan pegawai berkaitan ke lokasi untuk kawal lalu lintas atau selamatkan mangsa kemalangan jika ada.
Anda boleh juga hubungi PLUS Ronda bagi mendapatkan perkhidmatan lori tunda ke plaza tol berhampiran secara percuma jika kerosakan berlaku dilebuh raya. Lakukan perkara berikut jika berdepan situasi ini:
- Hubungi talian hotline pengendali lebuh raya, contohnya lebuhraya PLUS: 1800 88 0000
- Maklumkan lokasi kilometer
- Nyatakan jenis kenderaan, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kerosakan kereta
- Maklumkan juga nombor telefon untuk dihubungi
Setelah kereta selesai ditunda, anda perlu segera hubungi syarikat insurans kereta untuk dapatkan perkhidmatan lori tunda ke bengkel kereta terdekat atau bengkel panel insurans berhampiran. Kebiasaannya nombor telefon syarikat insuran ada pada pelekatnya bersama pelekat cukai jalan.
4. Kenal Pasti Masalah, Kerosakan
Jika kereta anda sempat berhenti di lokasi selamat semasa ia rosak, lakukan pemeriksaan pantas untuk kenal pasti punca ia tiba-tiba mati atau rosak dengan cara berikut:
a. Lihat jika ada sebarang paku pada tayar kereta, enjin kereta berasap atau minyak hitam bocor pada bahagian bawah kereta. Perhatikan juga lampu amaran kereta pada dashboard sama ada ia berkelip-kelip atau menyala luar dari kebiasaan.
b. Kenal pasti bunyi pelik pada kereta anda, contohnya bunyi bergesel atau bersiul. Perkara tersebut menandakan ada masalah serius berlaku pada kereta dan secara tidak langsung memberi amaran kerosakan komponen tertentu di dalamnya.
c. Periksa juga bau yang aneh, jika ada. Kereta bau terbakar atau hangit menandakan kemungkinan ada masalah enji, selain masalah brek rosak.
Saya yakin, setiap pemandu pastinya tidak mahu kereta kesayangan mengalami kerosakan, apatah lagi ditengah jalan. Oleh itu, untuk mengelaknya pastikan kereta anda di selenggara secara berkala.
Selain itu, pastikan anda periksa 6 perkara ini sebelum memulakan pemanduan yang jauh:
- Tekanan angin pada tayar
- Paras minyak enjin
- Paras air bateri
- Lampu
- Pengelap (wipers) dan paras air
- Isi radiator
Dengan lakukan pemeriksaan terperinci pada kereta setiap kali sebelum berjalan jauh, anda bukan sahaja boleh elakkan kerosakan secara tiba-tiba, malah kereta anda juga boleh berfungsi dengan baik dalam tempoh yang lama.
[Sumber: Carsome]
[Sumber gambar: iStock]