[ PROMO ] Nikmati tambahan rebat RM200 ke atas harga telefon siri Samsung Galaxy S23 apabila anda beli menggunakan kod promosi SYGS23R eksklusif untuk pembaca SoyaCincau BM di kedai dalam talian Samsung Malaysia. Tawaran sah sementara stok masih ada.
==========
Kalau anda dah telaah berita tentang Samsung Galaxy S23 Ultra yang diperkenal sewaktu acara Unpacked 2023, ini adalah dua lagi varian siri Galaxy S23 yang boleh anda pertimbangkan iaitu:
- Samsung Galaxy S23+
- Samsung Galaxy S23

Seperti biasa, Samsung memperkenalkan dua lagi varian untuk dipadankan dengan keperluan golongan-golongan tertentu. Ada yang perlukan telefon pada harga lebih rendah dan bersedia untuk korbankan S Pen pada varian Ultra dan ada juga perlukan telefon yang lebih kompak.
Merentasi generasi, anda akan dapati yang naik taraf yang sangat minimum diperkenalkan. Selain SoC baharu, naik taraf yang mereka bawakan kali ini lebih kepada estetika dan ketahanan berbanding prestasi.
Walau apapun, ini adalah maklumat tentang dua telefon tersebut.
Spesifikasi Samsung Galaxy S23+
Bermula daripada depan, Galaxy S23+ adalah sebuah telefon dengan panel paparan sebesar 6.6”. Panel yang digunakan adalah daripada teknologi Dynamic AMOLED 2X yang boleh beroperasi pada kadar segar semula 120Hz dan menyokong piawian HDR10+. Paparan ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 yang baharu, depan serta belakang sebagai perlindungan.

Untuk paparan, spesifikasi yang sama boleh anda lihat berbanding generasi terdahulu. Bezanya cumalah pada kaca Corning Gorilla Glass yang lebih baharu.
Atas papan utama, ia diperkasa cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy. Ini adalah SoC khas yang dikeluarkan Qualcomm untuk siri Galaxy S23. Pada segi kombinasi RAM dan storan, pengguna boleh memilih sama ada gabungan 8GB + 128GB atapun 8GB + 256GB.

Iterasi kali ini, SoC Snapdragon 8 Gen 2 ini adalah keluaran khas oleh Qualcomm untuk siri Galaxy S23. Katanya ia lebih pantas berbanding Snapdragon Gen 2 biasa pada segi clockspeed teras berprestasi tinggi yang lebih pantas. Adakah ia diterjemah kepada telefon yang lebih panas? Kami akan laporkan sejurus reviu selesai.
Di jabatan pengimejan, Samsung memperlengkap Galaxy S23+ dengan tiga buah kamera belakang dan satu kamera selfie. Di belakang, telefon ini ada kamera utama 50MP diikuti kamera ultralebar 12MP dengan sudut pandang 120 darjah. Kamera yang ketiga adalah telefonto dengan jarak zum 3 kali berbanding kamera utama.

Gamber swafoto anda bolehlah ambil menggunakan kamera 12MP.
Juga tiada perbezaan pada segi bilangan megapiksel setiap kamera. Berkemungkinan besar model sensor yang diguna pakai juga adalah sama. Kami akan kemas kini bahagian ini apabila maklumat lebih mendalam dapat kami perolehi.

Membekalkan tenaga kepada semua komponen elektronik telefon ini adalah satu sistem bateri berkapasiti 4,700mAh. Ia dicas pantas menggunakan protokol Samsung Super Fast Charger 2.0 yang menyokong sehingga 25W secara berkabel. Kalau nak cas secara wayarles, ia menyokong piawaian Qi pada kadar 15W.
Pengguna beroleh bateri 200mAh lebih besar berbanding generasi dulu. Malangnya teknologi pengecasan yang sama diwarisi.
Lain-lain ciri menarik yang anda mungkin berminat adalah seperti ia kalis air pada piawaian IP68 dan sejurus keluar kotak, ia menjalankan One UI 5.1 berasaskan Android 13.

Spesifikasi Samsung Galaxy 23
Varian terendah siri Galaxy 23 ini memiliki spesifikasi mirip Galaxy S23+. Seperti biasa, varian ini ditujukan kepada pengguna yang inginkan telefon kompak tanpa mengorbankan prestasi.

Galaxy S23 memiliki panel paparan sebesar 6.1”, beresolusi FHD+. Panel paparan yang sama digunaakn seperti S23+ iaitu Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula boleh mencapai 120Hz.
Untuk keselamatan, bahagian depan dan belakang telefon ini juga dilindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 yang baharu.

Atas papan utama, anda boleh temui SoC Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang bergandingan bersama-sama kombinasi RAM + storan sama ada 8GB + 128GB ataupun 8GB + 256GB.
Untuk mengambil gambar, pengguna bolehlah memanfaatkan kamera utama 50MP yang ada apertur F1.8. Gambar bergenre pemandangan sesuai diambil menggunakan lensa ultralebar yang dibelakangnya ada sensor 10MP dan akhir sekali, sekiranya zum diperlukan, Samsung menyediakan kamera telefoto 3x 10MP.

Di bahagian hadapan, kamera swafoto 12MP menggalas tanggungjawab untuk memenuhi keperluan selfie.
Galaxy S23 memiliki kapasiti bateri terkecil dalam keluarganya. Berbekalkan sistem bateri 3,900mAh, ia boleh diisi menggunakan pengecas 25W dengan kabel ataupun 15W menggunakan pengecasan berpiawaian Qi.
Secara rumusannya, Galaxy S23 adalah S23+ dengan paparan dan kapasiti bateri lebih kecil.
