Ada pelbagai peristiwa penting dan menarik berlaku pada bulan Februari lalu. Google Malaysia telah keluarkan senarai 10 carian popularnya untuk bulan tersebut. Yang paling tidak disangka ialah, carian mengenai telefon kini tersenarai kembali setelah berbulan ia tidak mendapat perhatian ramai. Pada bulan lepas, Samsung Galaxy S23 Ultra menjadi satu-satunya telefon yang tersenarai dan ia berjaya menduduki tangga kelapan. Hal ini mungkin terjadi kerana orang ramai ingin tahu lebih mengenai kehebatan kameranya dan juga jenis cip yang disertakan.
Selain itu, seperti biasa carian mengenai perlawanan bola sepak masih kekal tersenarai. Kali ini ada tiga perlawanan mendapat perhatian ramai.
Untuk isu semasa pula, hal yang nampaknya popular dan penting untuk pemandu di Malaysia adalah mengenai aplikasi MyJPJ. Pasti ramai yang ingin gunakannya untuk akses lesen memandu dan cukai jalan secara mudah di dalam talian.
Carian popular selebihnya adalah mengenai hari Valentine, taman tema terbaru SplashMania Gamuda Cove, filem misteri Knock At The Cabin, hari peristiwa Israk Mikraj dan novel berjudul King Haidar.
1. Barcelona vs Manchester United / UEFA Europa League
Manchester United telah menentang Barcelona dalam Liga Europa UEFA di Stadium Old Trafford. Melalui pertemuan ini, pasukan The Red Devils menang 2-1 hasil jaringan Fred Santos dan Antony Santos.
2. Liverpool vs Everton
Liverpool menang 2-0 menentang Everton dalam perlawanan Liga Perdana terbaru mereka di Stadium Anfield. Gol tersebut dijaringkan oleh Mohamed Salah dan Cody Gakpo.
3. MyJPJ
Pada bulan lalu, Menteri Pengangkutan ada umumkan peraturan memaparkan cukai jalan untuk kenderaan persendirian tidak lagi diwajibkan. Orang ramai juga tak perlu lagi menyimpan kad fizikal lesen memandu. Kedua-dua perkara ini boleh didapati menerusi aplikasi myJPJ. Malangnya, sejurus pengumuman itu berlangsung, aplikasi MyJPJ jadi sukar diakses.
4. Happy Valentine’s Day
Pasti ramai yang buat carian ini kerana ingin berikan ucapan Valentine yang sesuai kepada individu istimewa. Menjelang hari tersebut juga, ada banyak jualan promosi Valentine disediakan untuk orang ramai dapatkan dan dihadiahkannya kepada yang tersayang.
5. SplashMania Gamuda Cove
Gamuda Land telah perkenalkan tarikan terbaharunya iaitu taman tema air SplashMania yang berkeluasan 18 ekar. Anda boleh bermain dengan 24 buah gelongsor air dan 15 tarikan lain di situ. Antara yang menarik pada taman tema ini ialah, terdapat gelongsor air unik sepanjang 78m dengan kesan audio dan visual sesuai untuk seisi keluarga.
6. Knock At The Cabin
Filem Knock At The Cabin di hasilkan berdasarkan sebuah buku bertajuk The Cabin at the End of the World. Ia merupakan filem genre misteri dan seram yang mengisahkan tentang sebuah keluarga dijadikan tebusan oleh empat individu yang tidak dikenali. Mereka dikehendaki untuk membuat pilihan untuk mengelakkan kiamat.
7. UEFA Champions League/ Paris Saint-Germain vs Bayern Munich
Bayern Munich berdepan dengan Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara UEFA dalam pertemuan pertama di tempat lawan dan berjaya mendahului dengan jaringan 1-0 menentang pasukan Perancis itu.
8. Samsung Galaxy S23 Ultra
Samsung telah perkenalkan siri Galaxy S23 pada bulan lalu dan model terbaiknya adalah Galaxy S23 Ultra. Samsung menyatakan ada banyak naik taraf di kamera pada kali ini. Antaranya ialah kemampuan pemproses kamera supaya lebih banyak mod canggih boleh digunakan. Antaranya ciri Nightography yang terkenal menangkap bulan dengan jelas, dipertingkat dengan fungsi Astrophotography, iaitu menangkap kerlipan bintang dengan jelas di langit.
9. Israk Mikraj
Hari Israk Mikraj pada tahun ini jatuh pada 18 Februari. Ia sekaligus merupakan tarikh cuti umum di Malaysia. Ini merupakan tarikh penting bagi umat Islam antaranya untuk memperingati peristiwa Nabi Muhammad merentasi tujuh lapis langit. Pasti ramai yang lakukan carian ini untuk dapatkan kepastian tarikh cuti umum serta kisah disebalik Israk Mikraj.
10. King Haidar
King Haidar merupakan sebuah novel tempatan yang dikarang oleh Anjell. Anjell merupakan penulis novel romantis popular di Malaysia dengan beberapa novel diadaptasi ke drama TV. Saya tidak pasti mengapa novel ini popular. Tapi berdasarkan carian di Twitter dan Facebook saya dapati ramai yang ingin menjual novel ini pada bulan Fabruari lalu. Carian ini dilakukan mungkin kerana kaki novel ingin tahu lebih lanjut mengenai jalan cerita novel ini.