Infinix hari ini telah melancarkan secara rasmi siri Hot terbaru iaitu Hot 30 dan Hot 30i bagi pasaran Malaysia. Ia adalah kesinambungan daripada siri Infinix Hot 20 yang telah dilancarkan pada November tahun lepas. Apa yang menarik, kali ini Infinix berkolaborasi bersama permainan Free Fire untuk edisi istimewa Hot 30.
Harga dan Promosi Jualan awal
Infinix menawarkan satu varian bagi kedua-dua model. Bagi yang berminat, harga rasmi Infinix Hot 30 dan Hot 30i adalah seperti berikut:
- Infinix Hot 30 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM599
- Infinix Hot 30i (RAM 4GB + Storan 128GB) – RM399
Orang ramai boleh mendapatkan telefon terbaru Infinix ini di Stor Rasmi Infinix di Lazada atau Shopee bermula 14 April 2023.
Untuk pembeli awal, Infinix ada menawarkan promosi jualan hari pertama bermula 14 April hingga 17 April 2023. Pada promosi tersebut, Infinix memberikan diskaun sebanyak RM50 pada kedua-dua model tersebut. Berikut adalah harga promosi jualan hari pertama:
- Infinix Hot 30 (RAM 8GB + Storan 128GB) –
RM599RM549 - Infinix Hot 30i (RAM 4GB + Storan 128GB) –
RM399RM 349
Lebih menarik, Hot 30 edisi Free Fire juga boleh didapati pada harga sama RM549 semasa promosi ini berjalan, tapi didatangkan dengan lebih banyak hadiah menarik bertemakan Free Fire seperti topi, lanyard, sarung telefon dan alat pin SIM. Hot 30 edisi Free Fire ini hanya tersedia secara eksklusif di Stor Rasmi Infinix di Lazada sementara stok masih ada.
Tambahan pula, Infinix juga memberikan penghantaran percuma kepada siapa yang membuat pembelian di Lazada dan Shopee. Bukan itu sahaja, mereka yang membuat pembelian di Stor Rasmi Infinix di LazMall akan menerima pulangan tunai sebanyak 15%, manakala pembeli boleh menggunakan Spaylater jika membuat pembelian di Stor Rasmi Infinix di Shopee.
Selain telefon pintar, Infinix turut melancarkan fon putik baharu yang dinamakan XE27. Berikut adalah harga rasminya di Malaysia:
- Infinix XE27 – RM99
Dengan harga yang sangat mampu milik, ia dilengkapkan dengan ciri pembatalan hingar aktif dan mempunyai empat mikrofon untuk membuat panggilan dengan jelas. Pengecasan 10 minit memberi masa penggunaan sehingga 60 minit.
Spesifikasi Hot 30
Antara naik taraf pada Hot 30 adalah di cip pemprosesnya. Ia dikuasakan cip Mediatek Helio G88 12nm, bersama RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman eMMC seluas 128GB. Kad mikroSD diterima sehingga 1TB untuk meluaskan storan.
Skrinnya jenis LCD IPS berukuran 6.78-inci, dinaik taraf ke resolusi HD penuh dengan kadar penyegaran 90Hz. Kecerahannya pula boleh pergi setinggi 580 nits. Pengimbas capjari terdapat di sisi, di dalam butang kuasa.
Lubang kecil di atas skrin menempatkan kamera hadapan 8MP F2.45. Manakala di belakang, ia menggabungkan kamera utama 50MP F1.6 dan lensa kedua dipanggil lensa AI.
Baterinya berkapasiti 5,000mAh dan pengecasnya dinaik taraf, menyokong kuasa sehingga 33W menerusi USB-C. Jek audio 3.5mm masih dikekalkan dan seperti di Hot 20, model terbaru ini juga hadir dengan sokongan NFC. Hot 30 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Hijau, Hitam dan Putih.
Untuk tahu lebih lanjut tentang Infinix Hot 30, anda boleh baca artikel reviu kami di sini.
Spesifikasi Hot 30i
Infinix Hot 30i adalah telefon lebih mampu milik. Ia dikuasakan oleh cip Unisoc T606 bersama-sama RAM 4GB dan storan 128GB. Di paparan, ia menggunakan panel LCD berukuran 6.56-inci dengan resolusi 720×1612. Ia mempunyai kadar segar semula sehingga 90Hz kadar pensampelan sentuh adalah 180Hz dengan kecerahan maksimum adalah sehingga 500 nits.
Tenaga pula disumbang oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan 18W. Bahagian pengimejan mengguna pakai kamera utama 13MP dan kamera selfie 8MP di hadapan. Lain-lain ciri termasuk sambungan jek audio 3.5mm dan pengimbas cap jari di butang kuasa. Hot 30i didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Biru, Hitam dan Putih.