Selepas melancarkan beberapa model telefon pintar, Google kali ini secara rasminya kembali ke arena tablet apabila melancarkan Google Pixel Tablet di acara Google I/O 2023. Ia menampilkan beberapa ciri unik yang belum pernah ada di tablet Android lain.
Walaupun tidak menjanjikan prestasi tertinggi, Google menjamin tablet ini akan memberikan prestasi pantas dan hayat bateri yang panjang, serta pengalaman menikmati kandungan lebih menarik di skrin besar.
Tablet premium untuk semua keperluan
Menggerakkan kuasa dalaman Pixel Tablet adalah cip rekaan khas Google yang digunakan di dalam telefon Pixel 7, iaitu Google Tensor G2 bersama cip keselamatan Titan M2. Prestasi tablet ini dipertingkat dengan penggunaan RAM LPDDR5 sebanyak 8GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Tiada slot kad mikroSD padanya.
Paparan LCD digunakan di hadapan, seluas 11-inci dalam nisbah 16:10, serta resolusi WQHD+ (2560×1600). Badannya diperbuat daripada aluminium dan diselaputi lapisan nano seramik agar mudah dipegang.
Terdapat dua kamera pada Pixel Tablet. Kamera hadapannya 8MP dengan fokus tetap terletak di atas bingkai skrin. Di belakang juga menggunakan kamera 8MP dengan fokus tetap.
Sistem bunyi pada tablet dihasilkan menerusi empat speaker stereo, dua di kiri dan dua di kanan. Hayat bateri pula dikatakan mampu menstrim video sehingga 12 jam, menerusi bateri berkapasiti 27Wh. Ia mengecas menerusi dok yang disertakan di dalam kotak, atau USB-C yang dijual berasingan.
Perisian mesra tablet dan pengguna
Bagi memberi pengalaman terbaik, Google bekerjasama dengan pasukan Android untuk menjadikan aplikasi di tablet lebih mudah dan mesra digunakan untuk skrin besar. Selain itu, Pixel Tablet adalah tablet pertama dilengkapi fungsi Cast. Ini membolehkan ia digunakan seperti TV Pintar, di mana pengguna boleh memancarkan kandungan dari telefon pintar ke tablet dengan mudah.
Google juga melengkapi pelbagai fungsi kecerdasan pintar (AI) untuk digunakan di dalam Pixel Tablet. Lebih 50 aplikasi Google telah dioptimasikan untuk skrin besar. Google Meet dilengkapi ciri pencahayaan terang dan latar 360-darjah. Gambar juga boleh dibuang sebahagian dengan cantik dan ditajamkan dengan pantas, menerusi Magic Eraser dan Photo Unblur.
Manakala fungsi ‘split screen’ membolehkan dua aplikasi dipaparkan serentak, serta menggunakan ciri seperti tarik dan letak daripada aplikasi lain. Contohnya gambar dari Google Photos ditarik ke dalam Gmail. Lebih mudah lagi, ia menyokong teknologi pembantu menaip suara, cara yang lebih cepat daripada menaip dengan tangan. Semua ini dijayakan oleh kehebatan AI yang diproses oleh cip Tensor G2 dan Titan M2.
Sebagai produk Google, Pixel Tablet dijamin menerima kemaskini Android selama 5 tahun.
Dok speaker pintar
Pixel Tablet datang siap dengan dok speaker pengecas di dalam kotak. Apabila tablet diletakkan di atas dok ini, ia boleh mengecas tablet dengan kuasa 15W serta bertindak sebagai speaker dengan keupayaan 4x lebih lantang.
Ia juga mengubah tablet kepada mod Hub, memudahkan kawalan peralatan rumah pintar menggunakan arahan suara, serta menjadi pemain muzik, kandungan hiburan atau bingkai gambar digital.
Harga dan ketersediaan
Seperti biasa, Malaysia tiada dalam pasaran jualan peranti Google, termasuk Pixel Tablet yang baru ini. Tempahan awal telah dibuka hari ini untuk pasaran Amerika Syarikat, Kanada, UK, Jerman, Perancis, Sweden, Denmark, Norway, Belanda, Jepun dan Australia. Jualan pertama akan bermula pada 20 Jun 2023.
Harga jualan rasminya adalah seperti berikut:
- Google Pixel Tablet (RAM 8GB + Storan 128GB) – USD 499 (~RM2,223)
- Google Pixel Tablet (RAM 8GB + Storan 256GB) – USD 599 (~RM2,668)
Terdapat tiga pilihan warna disediakan iaitu Porcelain, Hazel dan Rose. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Google Pixel Tablet.